Header Ads

Ketua SPRM, Diugut, Dijejak, dan Dituduh "PEMBELOT"



22 Mei: Hari ini Ketua SPRM mendedahkan bahawa beliau sebelum ini diekori, dijejak sehingga keluar negara dan pernah mendapat ugutan semasa beliau melakukan sidang media.

Ia seperti menyaksikan babak dalam filem aksi. Tetapi itulah yang terjadi dan berlaku kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Mohd Shukri Abdull, setelah belia tekad untuk menyiasat dan mendedahkan skandal SRC international Sdn Bhd.

Beliau dengan nada sebak meluahkan semua perkara yang selama ini beliau pendamkan. Mohd Shukri meluahkan segala dalam sidang media pagi tadi.

"Saya dan Tan Sri Abu Kassim berjuang bersungguh-sungguh untuk menyiasat dan dapatkan balik wang rakyat yang dicuri. Tetapi kesudahannya, kami dituduh pembelot.

"Saya terpaksa melarikan diri ke Washington, Amerika Syarikat. Sampai di sana pun ada orang ekori saya, memaksa saya lari ke New York pula.

"Bayangkan, saya menangis macam budak-budak di New York, di depan Mat Saleh di sana. Saya terlalu sedih kerana sayangkan SPRM, saya rasa sangat bersalah," ceritanya sebak.

Mohd Shukri turut menceritakan bagaimana beliau, yang ketika itu menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, bersama Abu Kassim menemui ramai menteri dengan harapan ada sesuatu yang dapat dilakukan mereka.

"Saya bukan sesiapa, saya tak ada kepentingan pun. Saya dan Tan Sri jumpa begitu ramai menteri dan suarakan kebimbangan serta maklumat yang kami ada. Kami cuba yakinkan mereka, kes 2.6 bilion ini bukan kisah dongeng.

"Kami beri cadangan, (Datuk Seri) Najib perlu turun dari jawatan sebagai Perdana Menteri. Gantikan dengan (Datuk Seri Ahmad) Zahid Hamidi, atau (Datuk Seri) Hishamuddin Tun Hussein.

"Tapi dalam ramai-ramai yang kami jumpa, hanya tiga sahaja yang berani bersuara. Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Shafie Apdal dan  Datuk Seri Husni Hanadzlah. Yang lain semua takut.

"Malah saya dan Tan Sri juga berjumpa dengan Majlis Raja-Raja sebanyak dua kali, tetapi kami hampa," katanya.

Mohd Shukri yang bersara wajib dari SPRM pada Oktober 2016, dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad minggu lalu bagi menggantikan Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang meletak jawatan minggu lalu.

SRC International ialah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sumber: Sinar

No comments

Powered by Blogger.
a