Header Ads

5 Motorsikal Paling Mewah Yang Diidamkan Oleh Jejaka Masa Kini.


Ramai peminat dua roda Malaysia, terutama pembaca setia portal PanduLaju memang cukup sensitif dengan harga. Skuter 155cc berharga RM11,000? Tidak berbaloi katanya. Sportbike 250cc dengan ciri terkini, tetapi harga pula khabarnya bakal menyaingi jentera lain yang lebih besar?

Huh, tidak perlu bawa masuk, baik beli sportbike lesen B-penuh terus. Mungkin bagi kalangan penunggang marhen, tidak perlulah dipasarkan motosikal mahal melampau, tidak sesuai situasi ekonomi semasa.

Tetapi, bagaimana pula pengikut dan pembaca lain yang lebih berkemampuan? Pastinya golongan tersebut memasang niat mahu memiliki motosikal mahal dan terbaik supaya sepadan dengan imej 'orang kaya'. Jika anda kalangan mereka yang dimaksudkan, jangan risau. Menerusi pelbagai portal jual-beli atas talian, misalnya Mudah.my, anda sebenarnya ada cukup banyak pilihan motosikal yang sesuai dengan status kewangan.

Berikut ialah 5 motosikal pilihan paling mahal yang boleh anda pertimbangkan. Cuma klik sahaja pautan disediakan untuk maklumat lanjut.

1. 2017 Honda CBR1000RR SP - RM159,900 (Baharu)


Tidak lagi membawakan imej 'Rabbit', SP 2017 ini boleh dikatakan versi Fireblade serba baharu dengan penampilan lebih agresif dan pengurangan berat 16kg berbanding model SP terdahulu. Kuasa juga turut ditingkatkan 10hp, menghasilkan janaan maksimum 189hp, yakni peningkatan nisbah kuasa-berat 14 peratus.

Walaupun serba baharu, hanya 20 peratus sahaja berbeza dengan model SP 2016, menjadikan model tersebut sebagai pilihan lebih berbaloi buatmereka yang mengimpikan superbike Honda dengan ciri terkini.

2. 2016 Yamaha YZF-R1 60th Anniversary Limited Edition - RM170,000 (Baru)


Seperti kebanyakan jentera edisi terhad Yamaha yang menampilkan strip ala jentera perlumbaan, YZF-R1 membawakan skema warna kuning 'speedblock' yang diilhamkan daripada motoiskal milik pelumba legenda, Kenny Roberts Sr pada 1970.

Pada harga RM170,000, unit ditawarkan itu ialah versi Euro Spec yang dilengkapi ekzos slip on Akrapovic dengan hamburan kuasa setinggi 200hp @ 13,500rpm.

3. 2012 Harley Davidson FLTRXSE CVO Road Glide Custom (Skunk) - RM200,000 (Terpakai)


Walaupun tidak semahal Harley Davidson kepunyaan Dato Seri Vida yang dikatakan bernilai RM300,000, The Skunk yang ditawarkan pengedar motosikal besar dari Klang itu adalah antara unit Harley Davidson yang sukar didapati. Didatangkan dengan aksesori bernilai hingga RM30,000, mungkin motosikal tersebut ialah pilihan paling berbaloi buat penggemar jentera V-Twin pin tunggal dari Amerika Syarikat itu.

4. 2015 Ducati 1199 PANIGALE R - RM215,000 (Terpakai) 


Walaupun motosikal terpakai, jangan pandang remeh. Masih dalam kondisi sangat baik dengan perbatuan rendah, superbike terulung buatan Ducati itu pasti dengan mudah dapat menghambat jentera-jentera lain yang lebih baru kerana unit tersebut memang dihasilkan sebagai unit homologasi untuk perlumbaan FIM World Superbike Championship. Dalam keadaan standard, Panigale R menghamburkan 205hp daripada enjin V-Twin 1198cc.

5. 2017 MV Agusta F4 RC Reparto Corse LIMITED EDITION - RM226,500 (Baharu)


Inilah jentera superbike jalanan termahal yang kami jumpa setakat ini. Apa yang membuatkan superbike eksotik ini lebih mahal, bukanlah sekadar corak strip edisi terhad, tetapi turut dimahalkan lagi dengan hamburan kuasa 205bhp, sistem ekzos penuh Termignoni, dan set fairing gentian karbon penuh, sekali gus memberikan prestasi superbike terbaik yang anda boleh tunggang di atas jalan raya negara ini.

Sumber : Internet.
FACEBOOK KIM SKIN

No comments

Powered by Blogger.
a