Header Ads

Bakal Suami Perlu Tahu 5 Perkara Penting Ini Dulu Sebelum Menikah Dengan Pasangan Anda.


Sudah lama tidak menulis soal hal kendiri dan peribadi. Alhamdulillah, sedar tidak sedar saya kini sudah bergelar seorang suami hampir empat bulan lebih. Walaupun masih baru, tetapi ternyata perkahwinan merupakan satu perkara yang cukup mengubah erti hidup. Sudah banyak yang diperkatakan oleh orang lain akan erti perkahwinan dan begitu popular tajuk ini sehinggakan sesiapa sahaja berkahwin pasti akan menerima banyak kerlingan orang ramai.

Ada beberapa isu besar dalam menelusuri ke arah perkahwinan ini. Antaranya ialah persediaan ke arah perkahwinan, pemilihan calon pasangan, proses ke arah perkahwinan sehinggalah kepada persediaan sebagai seorang suami dan isteri. Besar untuk diperkatakan dalam semua konteks ini, yang pasti ianya memerlukan perancangan yang cukup rapi. Bergelar seorang suami, bunyinya satu perkara yang besar bagi individu yang bakal menamatkan zaman bujangnya. Wujud berbagai-bagai persepsi yang sukar diterjemahkan ke dalam realiti sebenar. Hanya yang melaluinya sahaja akan merasai segala perasaan, peristiwa dan keadaan yang sebenar.


"Baca buku pasal persediaan kahwin ni banyak-banyak, get ready!"

"Simpan duit banyak-banyak!"

"Pergi la ceramah A tu.. dan ini.. "

Dan macam-macam lagi pesanan dan tindakan yang disarankan. Hakikatnya perkahwinan bukanlah seperti Exam - bersedia dan kemudiannya duduki. Ianya tidak sama sekali dengan akademik. Nilai ilmu tidak akan diuji secara tempoh masa tertentu seperti 50 minit atau 3 jam. Ilmu persediaan perkahwinan akan diuji bermula dari awal akad nikah sehinggalah selama-selamanya bersama pasangan kita.

Ada persepsi tipikal orang bujang, perkahwinan ini terlalu berat. Berat sehinggakan mengelak daripada berkahwin. Ada juga persepsi mengatakan: "Perempuan itu begini dan begitu - sangat kompleks. Baik jangan kahwin, nanti sudah kahwin akan susah nak buat itu dan ini. Enjoy dulu zaman bujang".

Pendapat peribadi saya, perkahwinan tidak sesusah itu bahkan yang membezakan seorang bujang dan seorang yang sudah berkahwin ialah wujudnya peneman bersama di kala susah dan senang. Ianya tidak sesusah yang kita sangka (sewaktu zaman bujang), akan ada banyak kelebihan, keindahan, kenikmatan serta kepuasan apabila sudah berkahwin.

Banyak perkara yang kita tidak dapat lakukan semasa bujang. Kelebihan hidup berdua menggandakan pahala berjemaah, akan ada perasaan kasih dan sayang sesama suami isteri, akan wujud kenikmatan yang Allah berikan, nafsu, pandangan dan kemaluan kita terjaga, kehidupan kita bukan lagi untuk kesoronokan yang lagha di facebook, twitter, dan sebagainya tetapi bersama insan yang Allah amanahkan kepada kita.

Perkahwinan juga memberikan satu impak sinergi. Segala jenis keputusan akan dimusyawarahkan bersama, memberikan peluang untuk membetulkan mana-mana keputusan yang kurang sesuai. Diri kita akan dibaiki dari hari ke hari dengan teguran yang penuh hikmah. Pasangan kita akan menjadi cermin kepada diri, teguran yang ikhlas dari seorang suami/isteri adalah satu nasihat yang membaluti diri kita dari segala kekurangan dan kelemahan. Inilah serba sedikit erti perkahwinan, tidak sesusah mana. Tapi..

Ada tapinya, pemilihan pasangan yang baik mampu merubah diri kita. Namun awas, perubahan tidak bermula dengan sebab orang lain. Konsep perubahan bermula dengan diri kendiri.

"Kahwin dulu baru hang (kamu) tahu"

"Baca buku banyak-banyak pun tapi tiada praktikal tak berguna"

Awalnya saya agak skeptikal, tapi bila sudah melalui baru saya faham. Aspek teori dan pelaksanaan praktikal adalah sangat berbeza sama sekali. Namun, keperluan memiliki nilai ilmu sebelum perkahwinan adalah penting yang seharusnya tidak terlepas pandang.

Ilmu akan memberi ruang kepada setiap pasangan memahami perbezaan yang ketara wujud antara satu sama lain terutamanya dalam soal psikologi dan fisiologi laki dan perempuan. Perbezaan jantina memberi impak yang besar kepada mereka yang baru mengenali alam perkahwinan tetapi dengan ilmu dan kefahaman ianya membantu kita mengenali pasangan kita dengan lebih rapat dan harmoni.

Beza fisiologi & emosi
Ambil contoh mudah, bagi seorang lelaki yang tidak pernah mengambil tahu soal perubahan kitaran haid seorang perempuan, ianya merupakan benda baru yang perlu dipelajari fisiologinya serta kesannya terhadap emosi wanita. Kadang-kadang orang kata wanita ini kompleks. Sebenarnya, wujud korelasi yang kuat antara kitaran haid seorang perempuan dengan kestabilan emosi beliau. Ini adalah fitrah yang Allah telah kurniakan kepada seorang wanita.

Kitaran haid bukan sahaja mempengaruhi ketebalan endometrium membrane, ianya mempengaruhi perubahan hormon dalam tubuh wanita yang secara langsung akan mempengaruhi perubahan emosi wanita. Jika kita memahami fisiologi kitaran haid dan hormon secara terperinci, saya rasa untuk memahami perempuan tidaklah begitu kompleks.

Satu perkara lain yang akan membezakan kita secara ketara ialah aspek penyampaian dan penerimaan kasih sayang kita berbeza. Banyak faktor yang mempengaruhi semua ini antaranya ialah perbezaan didikan dan latar belakang keluarga masing-masing. Apa yang ingin kita sampaikan sebagai tanda kita kasih dan sayangkan si dia kadang-kadang tidak kesampaian disebabkan perbezaan ini.

Kesannya jelas. Maklumat perasaan cinta si suami tidak sampai dengan bandwidth isteri. Apa yang difahami dan ingin disampaikan oleh kedua-dua pasangan tidak kesampaian.

Seperti di awal pembukaan, banyak mana pun kita baca, telaah dan cuba bersedia - pengalaman jualah akan menjadi pengajar kepada kita. Apa yang saya ceritakan ini pun hanyalah pengalaman dan kefahaman yang masih tidak sempurna dan masih bersambungan.

Perhatikanlah sejak dari kecil. Kita selalu akan melalui satu-satu era perubahan. Ada peristiwa kita kena lalui yang mendebarkan seperti mahu berkhatan, dicucuk vaksin BCG serta lain-lain. Semua ini kita pernah terasa sukar tapi akhirnya kini kita telah lalui semua itu. Allah telah mendidik kita tanpa kita sedari.


Maka, usahlah terlalu risau dan usahlah terlalu ambil remeh temeh. Bersederhana dalam segala perkara merupakan satu polisi paling baik. Laluilah, pasti ianya satu fasa baru kepada semua individu.

Bacalah buku itu dan ini, simpanlah duit banyak ini dan itu, dengarlah pesanan senior ini dan itu, pergilah program persediaan berkahwin apa-apa sekalipun: hakikatnya pengalaman juga pengajar kita.

Sumber : Internet.
FACEBOOK KIM SKIN

No comments

Powered by Blogger.
a