Header Ads

RM20 Juta Pembaziran Berlaku Di Bazar Ramadan Sehari - Yusuf Azmi



21 Jun: Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Pengguna Semboyan 1Malaysia (PS1M) purata pembaziran RM2 setiap orang di bazar Ramadan menjadikan jumlah keseluruhan duit terbuang adalah bernilai lebih RM20 juta sehari.

Dapatan itu dikeluarkan Persatuan Pengguna Semboyan 1Malaysia (PPS1M) berdasarkan trend perbelanjaan pengguna di bazar terbabit sepanjang Ramadan.

Penasihatnya Yusuf Azmi berkata, hasil tinjauan pihaknya mendapati orang ramai membeli juadah melebihi daripada keperluan menyebabkan berlaku pembaziran.

Katanya, dorongan untuk membeli lebih juadah sentiasa membuak-buak dalam kalangan pengguna terutama di bazar Ramadan.

“Kita turun dan lihat perkembangan untuk tempoh dua minggu ini, ada yang tinggal berdua, tetapi membeli makanan untuk kapasiti lapan orang.

Bila ditanya, ramai yang kata mampu habiskan, tetapi mereka sendiri mengakui cukup berbuka mengikut sunah dan ia sudah mengenyangkan. Itulah kelebihan ajaran agama mengenai keberkatan dalam berpuasa,” katanya.

Yusuf berkata, senario sama berlaku kepada mereka yang membayar harga berlebihan untuk berbuka di bufet Ramadan sehingga berbelanja lebih 10 peratus dari sepatutnya.

“Dalam keadaan biasa, kita akan membelanjakan antara RM5 hingga RM7 namun untuk bufet Ramadan sanggup membayar sehingga RM100 seorang.

FB: Triherb
“Ini juga perlu dikaji oleh kita kerana tiada keperluan untuk membazir duit ketika berdepan keadaan ekonomi yang tidak menentu.

“Saya ingin menyarankan kalau ada lebihan wang, kita boleh salurkan kepada mana-mana kumpulan atau pertubuhan bukan kerajaan untuk diinfaqkan kepada anak yatim dan golongan memerlukan,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Yusuf berkata, pihaknya sudah mengadakan pertemuan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, baru-baru ini, untuk berbincang mengenai beberapa isu pengguna.

Katanya, satu sekretariat akan ditubuhkan untuk memantau isu kepenggunaan di negara ini dan ia akan membabitkan mereka yang terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan pengguna dan agensi kerajaan.

Alhamdulillah, perkara ini disambut baik kementerian dan kita akan mula susun penubuhannya secara berperingkat. Yang penting rakyat tidak akan terbeban dengan kos sara hidup,” katanya

Sumber: Metro

No comments

Powered by Blogger.
a