Header Ads

“Saya panik dan badan saya menggigil apabila melihat bayi itu kebiruan.”


“Saya panik dan badan saya menggigil apabila melihat bayi itu kebiruan.”

Demikian kata saksi kejadian Thayalan Paliandy, 33, yang juga individu yang bertindak menyelamatkan bayi terbabit selepas dicampak dari tingkat dua bangunan di Jalan Hentian 4, Hentian Kajang, Kajang, semalam.

Thayalan atau lebih selesa dipanggil Ajey berkata, ketika kejadian dia sedang makan di restoran di lokasi terbabit.

“Ketika sedang makan, tiba-tiba saya terdengar bunyi dentuman dari bumbung restoran itu sebanyak dua kali. Kemudian saya terdengar pekerja wanita restoran itu menjerit sebelum bergegas ke bahagian belakang premis terbabit.

“Saya kemudian menyusul untuk memeriksa kejadian, namun terkejut terkejut apabila menemui bayi lelaki dalam keadaan bogel berhampiran besi konkrit. Saya sangka bayi itu sudah mati, namun tangannya bergerak.

“Rupanya, dentuman pertama saya dengar adalah bayi terbabit yang dicampak. Dentuman kali kedua pula adalah uri bayi ,” kata Ajey ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Ajey berkata, dia segera mencapai apron yang bersidai di premis terbabit untuk membalut bayi berkenaan.


"Saya melihat kaki dan tangan bayi itu biru serta ada darah di kepala dan hidung selain ada kesan calar di bahunya. Tanpa berfikir panjang, saya terus berlari ke depan restoran dan menahan van kilang, lalu mengarahkan pemandunya untuk membawa saya ke klinik berhampiran.

"Sepanjang mendukung bayi itu, saya rasa panik dan badan menggigil apabila melihat keadaannya seperti susah bernafas. Saya risau tidak sempat menyelamatkan nyawanya dengan membawanya ke klinik yang terletak kira-kira 200 meter dari restoran berkenaan," katanya yang juga peniaga.

Ajey berkata, sebaik tiba di klinik berkenaan, doktor memintanya membawa bayi itu ke hospital berikutan bayi itu didapati parah.

“Orang awam yang juga saksi kejadian ada menghubungi Hospital Kajang memaklumkan kejadian, lalu pegawai dari hospital berkenaan datang menjemput bayi itu untuk dibawa ke hospital,” katanya.

Menurut Ajey, dia dimaklumkan bahawa bayi itu dicampak oleh pekerja kilang warga asing dari tingkap bilik air rumah di tingkat dua bangunan lima tingkat terbabit sebelum dia terjatuh pada bumbung restoran berkenaan dan berguling jatuh ke bawah.

Menurutnya, dia ada melawat bayi berkenaan yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kajang kira-kira 12 tengah hari, hari ini.


"Saya terlihat status dimuat naik di Facebook yang memaklumkan bayi itu sudah meninggal dunia. Namun, doktor memaklumkan keadaan bayi itu masih hidup tetapi kritikal.

"Difahamkan, bahu kanan bayi itu patah dan dia turut mengalami pendarahan di bahagian kepala," katanya.

Ajey berharap bayi berkenaan sihat dan berhajat mahu memberikan sumbangan kepadanya.

"Sekiranya dia sudah sihat nanti, saya mahu memberikan bantuan dari segi barang keperluannya, namun jika hayatnya di dunia ini singkat, saya sanggup membantu urusan pengebumiannya," katanya.

Sumber : Metro Online.
FACEBOOK KIM SKIN

No comments

Powered by Blogger.
a