Header Ads

“ABOH, bila kakak nok pakai tangan palsu?" - Soalan Pertama Dari Nur Zulaikha Selepas Keluar Bili Pembedahan.


“ABOH, bila kakak nok pakai tangan palsu?".

Itulah soalan pertama Nur Zulaikha Khumaira Zulkifli, 7, yang putus tangan kiri akibat baju sejuk bersaiz besar dipakainya tersangkut di rim motosikal dinaikinya dalam kejadian di Kampung Binjai Bongkok, Marang, malam tadi.

Bapa mangsa, Zulkifli Mohamad, 38, berkata, Khumaira yang membahasakan dirinya sebagai kakak bertanyakan soalan itu sebaik membuka matanya apabila sedar selepas keluar daripada bilik pembedahan pagi tadi.

Katanya, dia terkejut apabila Khumaira menanyakan soalan berkenaan dalam usianya yang masih muda dan seakan-seakan sudah menerima hakikat bahawa tangannya tidak dapat diselamatkan.


"Apabila kakak mengajukan soalan begitu, saya terkejut bagaimana dia boleh tahu mengenai perkara itu (tangan tidak dapat diselamatkan), namun saya dan isteri cuba memberi semangat kepadanya supaya jangan putus asa," katanya ketika ditemui NSTP di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di Kuala Terengganu, hari ini.

Sementara itu, kakak saudara murid Tahun Satu Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek, Marang itu, Noor Aina Hananie Rozali, 18, ketika menceritakan insiden malang itu berkata, sebelum kejadian dia mengajak Khumaira menemaninya ke rumah Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung untuk mengambil cop pengesahan borang biasiswa bagi menyambung pelajarannya di kolej.

"Khumaira duduk di belakang dan adik bongsunya berusia dua tahun duduk di tengah.

"Saya hanya mula menyedari kejadian apabila motosikal tiba-tiba bergerak perlahan dan ada suara mengadu sakit di belakang.

"Apabila saya berpaling, Khumaira sudah berada di atas jalan, jadi saya memberhentikan motosikal sambil memegang adiknya yang masih di belakang," katanya.

Khumaira disifatkan sebagai kanak-kanak luar biasa apabila langsung tidak menangis sepanjang kejadian itu sebelum dibantu penduduk kampung yang kemudian menghantarnya ke klinik berdekatan.


Ibunya, Rohidayu Siup@Yusof, 29, berkata, baju sejuk dipakai Khumaira ketika kejadian adalah miliknya dan itulah kali pertama mangsa menggunakannya.

"Kakak tak pernah memakai baju sejuk itu tapi pada malam tadi dia ambil untuk mengikut kakak saudaranya menaiki motosikal ke rumah tok penghulu.

"Sebaik mengetahui kejadian itu, saya bergegas ke lokasi dan menemani Khumaira untuk ke klinik berhampiran sebelum dirujuk ke HSNZ untuk pembedahan menyambung tangannya.

"Bagaimanapun, sebaik pembedahan selesai, kami sekeluarga dimaklumkan tangan Khumaira gagal disambung kerana keadaannya yang sudah hancur," katanya sayu.

Sumber : Harian Metro.
FACEBOOK KIM SKIN

No comments

Powered by Blogger.
a