Header Ads

Bekas Perdana Menteri Akan Didakwa Pada Hari Ini.


Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dikawal ketat pasukan polis dan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memasuki Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Terdahulu, Najib dilihat dibawa keluar dari bangunan ibu pejabat (SPRM) di Putrajaya 7.37 pagi, dan diiringi enam kenderaan termasuk dua kereta peronda serta dua motosikal polis.

Najib ditahan di lokap SPRM malam tadi, sementara menunggu pertuduhan di mahkamah pagi ini.

Beliau sebelum itu ditahan di kediamannya di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur 2.35 petang semalam.

Pasukan Petugas Khas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam satu kenyataan semalam mengesahkan tangkapan dibuat terhadap Najib berkaitan SRC International Sdn Bhd (SRC International).

Pasukan itu memaklumkan Najib akan dituduh 8.30 pagi ini di Mahkamah Kuala Lumpur.

Sumber memaklumkan, Najib dijangka akan menghadapi lebih 10 pertuduhan melakukan pecah amanah berkaitan kes SRC International.

Pada bulan lalu, Najib dua kali dipanggil memberi keterangan berhubung dakwaan rasuah berkaitan SRC dan 1MDB yang sedang dijalankan SPRM.

 Ketua Puteri UMNO Pekan, Sida Tatiana Sariat berkata, pihak berkuasa tidak sepatutnya menahan Najib tanpa bukti yang kukuh.



“Kalau beliau (Najib) bersalah, tunjukkan bukti, tidak perlu menahan beliau seperti ini.

“Kami mahu pihak berkuasa bebaskan Najib, ahli lain dari Pontian dan Temerloh akan menyertai kami untuk menunjukkan sokongan kepada Ketua Bahagian kami,” katanya ketika ditemui di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, konsultan perniagaan, Dr Phillip Loh berkata, penahanan Najib adalah tidak berasas dan dilakukan tanpa siasatan lengkap.

“Pihak berkuasa tidak memberikan perincian mengenai pendakwaan yang bakal dibuat, perkara ini berlaku dengan mengejut.

“Kami mahu perkara ini dihentikan, adakah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu mengembalikan semula pemerintahan kuku besinya ?

“Biarkan Najib dibicarakan mengikut undang-undang, beliau dilayan dengan cara yang tidak betul, dimalukan sejak Pilihanraya Umum ke 14 tamat.

“Inikah kerajaan baharu yang kita inginkan? Bayangkan bagaimana rakyat biasa akan dilayan selepas ini,” katanya.



Sumber : Harian Metro.
FACEBOOK KIM SKIN

No comments

Powered by Blogger.
a