Header Ads

Pelik! Fesyen Baju Inspirasi Dari Ais Kacang Warung Jadi Juara.


Inspirasi hidangan ais kacang yang disuntik dalam rekaan busana ternyata membuka mata juri sekali gus melayakkan perekanya menjadi juara pertandingan AirAsia Runway Ready Designer 2018.

Menurut Daphne Lim Wen Sin dari Akademi Fesyen SML, Bukit Bintang, dia ternyata hilang kata-kata ketika diumumkan sebagai juara dan tidak menyangka idea itu membawa tuah kepadanya.

"Ilham dari ais kacang itu kerana sifat serta warnanya yang melambangkan kepelbagaian masyarakat yang hidup di Malaysia.

"Selepas kemenangan ini, saya mahu melancong dan cari idea untuk rekaan seterusnya. Mungkin badut juga boleh jadi inspirasi rekaan saya selepas ini," ujarnya ketika ditemui mStar Online sejurus diumumkan sebagai juara pertandingan itu.

Menerusi pentas akhir Jumaat lalu, Daphne membawa pulang 150,000 mata ganjaran BIG AirAsia, wang RM25,000 dari FashionValet untuk menghasilkan rekaan kapsul dan penampilan dalam majalah AirAsia Travel360.

Selain itu, gadis berusia 23 tahun itu turut menerima telefon pintar berjenama Huawei dan slot untuk mempamerkan koleksinya dalam penganjuran KLFW tahun depan.

Bercerita mengenai penghasilan sembilan persalinan yang dipertandingkan tempoh hari, Daphne mengakui terpaksa bersengkang mata hampir sebulan untuk menyiapkan keseluruhan koleksi tersebut.


"Berbaloi pengorbanan saya, sehari saya tidur dalam tiga ke empat jam sahaja. Hampir sebulan saya tak dapat tidur secukupnya. Malah, saya terpaksa tidur di pusat pengajian demi menyiapkan rekaan saya," katanya lagi.

Dalam pertandingan itu, Daphne menewaskan empat peserta lain yang turut memberi saingan sengit menerusi rekaan unik yang dihasilkan mereka.


Sumber : mStar Online.
 FACEBOOK KIM SKIN


No comments

Powered by Blogger.
a