Header Ads

'Dia kuat merokok,balik sekolah je merokok' - Gara-gara Tweet Cecah 5k,Pemuda Ini Akhirnya....


Bermula dengan satu tweet tular yang diulang kicau lebih 10,000 kali, seorang remaja tekad berhenti merokok. Abdullah Nuruddin A. Sani tidak menduga tindakan seorang rakannya meminta netizen untuk ulang kicau tweetnya yang mahu dia berhenti merokok mendapat sokongan ramai.

"Mula-mula fikir mustahil tweet kawan yang mahu orang ramai retweet sampai 5,000 kali supaya saya berhenti merokok akan dapat perhatian.

"Namun saya terkejut apabila tengok bukan sahaja sampai 5,000 retweet tapi lebih daripada itu. Nak tak nak saya kena berhenti juga," katanya ketika dihubungi mStar Online.


Namun, pelajar Tingkatan 6 di sebuah sekolah menengah di Temerloh, Pahang itu memberitahu punca utama dia berhenti merokok bukan kerana dicabar rakannya itu. Sebaliknya, Abdullah Nuruddin atau lebih mesra disapa sebagai Dollah berkata niat itu disebabkan rasa bersalah terhadap ibunya selama ini.

"Tweet itu boleh kata salah satu sebab tapi niat utama kerana mak saya. Mak tak tahu saya merokok. Tiap kali bila saya keluar rumah, mak saya pesan 'jangan merokok Lah'. Saya iyakan saja tapi rasa bersalah itu semakin menebal," katanya.

Dollah berkata dia sudah kurang merokok sebelum tekad meninggalkan rokok sepenuhnya baru-baru ini.


"Sekarang baru saya sedar betapa susahnya nak cari duit nak beli rokok, lagipun masih bersekolah. Alang-alang kawan dah cabar jadi saya berhentilah merokok terus sebab dah pasang niat nak berubah sebelum ini," katanya.

Menurut anak kedua daripada empat beradik itu, dia juga menyesali perbuatannya merokok seawal usia 11 tahun.

"Perasaan menyesal itu memang ada tapi biasalah masa tu budak-budak, masih mentah. Mula-mula tu memang nak cuba je sebab tengok orang hisap rokok macam seronok dan nampak macho," katanya.

Malah, Dollah berkata dia tidak akan melupakan pengalaman dihukum guru kerana ditangkap merokok di sekolah.

"Saya banyak kali kantoi kat sekolah. Pernah satu masa tu saya kena tampar dengan cikgu. Muka merah... pedih dia tak tahu nak cakap macam mana.

"Bila teringat semula nak gelak pun ada, terus terbayang muka cikgu tu. Tapi saya tak simpan perasaan dendam pun dekat dia," katanya yang sudah sembilan hari meninggalkan tabiat tidak sihat itu.

Bercerita mengenai hari pertama dia berhenti merokok, Dollah berkata dia dihantui perasaan gemuruh selain turut demam.

"Ramai yang faham, apabila berhenti terus mendadak macam ni takut datang 'sakit lain'. Memang hari pertama tu saya demam. Masuk hari ketiga saya tak sakit dah tapi mulut tu memang nak mengunyah sentiasa. Jadi saya makan je apa-apa yang ada," katanya.

Memandangkan tindakannya berhenti merokok menjadi tular, Dollah berharap agar kisahnya menjadi teladan kepada remaja lain supaya menjauhi amalan tidak sihat ini.

"Sebelum terikat dengan rokok berhentilah. Dulu boleh kata saya juga kuat merokok, sekotak tu boleh tahan dua atau tiga hari. Jadi memang susah nak berhenti, lama dah cuba tapi sekarang baharu dapat. Jika ada niat Insya-Allah ia akan dipermudahkan. Jangan pernah berputus-asa," katanya.

Terdahulu tweet rakan kepada Dollah @nrfrshainaa yang berbunyi:"Nama dia Dollah. Dia kuat merokok. Balik sekolah je merokok. Aku nak stop smoke. 5k rt (s) & Dollah will stop smoking gais! Help me to make this real! Spread this pls!!!" menjadi tular. Setakat hari ini, tweet itu masih diulang kicau mencecah hampir 11,000 kali dengan 2,928 tanda suka.




No comments

Powered by Blogger.
a