Header Ads

"Gadis Manis OKU ini Tokoh OKU Maal Hijrah Terengganu"



Haziqah Nurul Huda Harun baru sahaja berusia 22 tahun, kini sudah memiliki kilang untuk membuat kuil bakul dan kuih bulannya sendiri.

Yaya dulu pernah viral kerana dia seorang gadis kurang upaya tetapi tidak menjadikan kekurangannya itu sebagai alasan untuk dia tidak berjaya dalam hidup.

Usaha yaya ini mendapat pengiktirafan apabila dipilih sebagai tokoh maal hijrah Terengganu.

Gadis berusia 22 tahun itu menerima hadiah wang tunai RM3,000, plak dan sijil penghargaan yang disampaikan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.

Kisahnya pernah disiarkan pada awal 2017 dan menjadi tular di laman sosial serta inspirasi rakyat Malaysia yang kagum dengan kegigihannya yang cekal untuk berdikari dengan mengusahakan perniagaan kuih bakul serta kuih bulan.

Haziqah yang lebih mesra dikenali sebagai Yaya mula mengusahakan kuih bakul dan kuih bulan berseorangan dari rumahnya di Kemaman pada 2016 dan kini mempunyai 65 pekerja untuk melebarkan lagi empayar perniagaannya, Sedeh Sokmo MMDT Enterprise.



"Alhamdulillah, anugerah ini menguatkan lagi semangat Yaya untuk terus berjihad memartabatkan ekonomi orang Islam melalui perniagaan makanan.

"Yaya juga berharap kejayaan ini akan membuka mata lebih ramai golongan OKU agar tidak berasa rendah diri dengan kekurangan mereka kerana di sebalik kekurangan ini pasti ada keistimewaan yang telah Allah cipta untuk kita terus menyumbang sesuatu kepada agama, bangsa dan negara," katanya yang terpaksa bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak berikutan lumpuh dari pinggang ke bawah.

Ketika mula berniaga pada 2016, Yaya hanya mengeluarkan produk dengan dua perisa sahaja iaitu perisa asli serta durian namun beliau terus mencipta kelainan apabila menampilkan 32 resepi dan akan mengeluarkan enam resepi baharu khas untuk keluaran produk premium sebelum akhir bulan ini.



Enggan terus berada dalam zon selesa, Yaya juga konsisten menambah ilmu perniagaan dengan menyertai kelas strategi pemasaran menggunakan medium sosial Facebook sejak tahun lalu.

"Yaya mahu terus menyediakan kuih bakul dan kuih bulan halal untuk santapan rakyat Malaysia serta negara jiran terdekat seperti Singapura dan Indonesia pada masa akan datang.

"Semoga jihad kecil Yaya dalam perniagaan ini memberi impak positif kepada ekonomi setempat khususnya peluang pekerjaan kepada komuniti dan sektor makanan halal dalam negara," katanya.

No comments

Powered by Blogger.
a