Header Ads

Penyanyi Rock Malaysia buat kejutan di Majlis Konvokesyen Anak

Foto Kredit : Berita Harian Online

Penyanyi rock terkenal di era 90-an, Rahmad Tohak atau Rahmad Mega membuat kejutan untuk anaknya apabila tampil di pentas pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sini, hari ini.
Rahmad tampil pada hari kedua konvokesyen yang turut menyaksikan anak sulungnya, Suhazri Amrin,23, menerima Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Elektrik (Elektronik).
Kehadiran Rahmad menyanyikan lagu ‘Bayangan Gurauan’ di pentas itu turut mengejutkan orang ramai kerana lazimnya persembahan hanya dibuat oleh penghibur yang dipilih penganjur.

Suhazri Amrin yang terharu dengan persembahan itu kemudiannya naik ke pentas dan memeluk ayahnya.
Ditemui selepas itu, Suhazri Amrin berkata, dia terkejut melihat kehadiran ayahnya menyanyikan lagu pada hari bersejarah untuknya dan menghadiahkan kejayaannya kepada keluarga yang banyak membantu.
Dia yang kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Sains di UMP, berkata bidang nyanyian hanya sekadar hobi sahaja.
“Saya bercita-cita ingin menjadi seorang jurutera atau seorang pensyarah suatu hari nanti,” katanya.
Sementara itu, Rahmad berkata, dia bersyukur dengan pencapaian anaknya dalam bidang akademik dan sentiasa memberi galakan untuk terus melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan.
“Saya sentiasa menyokong minat anak-anak yang lebih cenderung dalam bidang akademik dan saya sentiasa mendoakan impian mereka tercapai,” katanya.
Sumber : Berita Harian 

No comments

Powered by Blogger.
a