Pemasyhuran itu diumumkan Sultan Ibrahim pada majlis Istiadat Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda yang ke-60 di Istana Besar, di sini.
"Sebagaimana kita semua sedia maklum, Tunku Mahkota Johor telah dikurniakan seorang anak lelaki pada tanggal 10 Oktober 2017 yang lalu dan telah diberi nama Tunku Iskandar Abdul Jalil Abu Bakar Ibrahim Ibni Tunku Ismail.
"Oleh yang demikian, sebagaimana hak dan kuasa yang termaktub di dalam Fasal 23 Bahagian Pertama dan Fasal 7(2E) Bahagian Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor, maka saya sebagai Raja dengan persekutuan Jumaah Majlis Diraja, telah berkenan untuk melantik, menjadikan dan menggelar Tunku Iskandar Ibni Tunku Ismail sebagai Raja Muda Johor.
"Oleh itu, mulai dari saat ini, Tunku Iskandar Ibni Tunku Ismail adalah merupakan waris kedua kepada takhta pemerintahan kerajaan Johor, iaitu orang yang menyusul kemudian daripada waris," titah baginda pada Istiadat Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Ke-60 di Dewan Singgahsana, Istana Besar, di sini hari ini.
Teks titah Sultan Ibrahim itu diedar kepada media menerusi pejabat media dan komunikasi rasmi keluarga diraja Johor, Royal Press Office.
Berangkat sama ke istiadat itu, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah dan paduka-paduka anakanda serta menantu, Dennis Muhammad Abdullah. - Bernama