Header Ads

Trofi 'kasut Cinderella' hanya sebesar tapak tangan akhirnya bertukar


Pada awal November lalu, Tengku mahkota Johor telah bersuara berkenaan isu trofi Kasut Emas hanya bersaiz sebesar tapak tangan. Anugerah Sukan Bola Sepak kebangsaan kepada pemenang yang telah memberikan yang terbaik adalah tidak memenuhi 'standard' seperti apa yang diharapkan oleh Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku Tunku Pengerusi MFL.

Kontroversi saiz trofi Kasut Emas itu terus menjadi bualan peminat bola sepak tempatan yang dianggap sebagai 'mempermainkan' kewibawaan pemain-pemain bola sepak tempatan. 
Berikutan itu, Pengerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengarahkan sesiapa yang bertanggungjawab dalam menyediakan trofi itu meletak jawatan serta-merta.

"Hanya 13 jam berada di luar negara dan huru-hara berlaku. MFL, selesaikan masalah ini dan beri anugerah (trofi) yang lebih berkualiti," ujar Tunku Ismail menerusi perkongsian di laman Twitter miliknya.

Dalam satu lagi perkongsian, Tunku Ismail memberitahu: "Ini bukan Kasut Emas. Ini kasut Cinderella miniature version.. Haha.. Sorry, I can't get over it. MFL, lucky you guys acted on it. If not I was about to give you the people's elbow... Step Up!."

Kini, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berjanji akan melengkapkan penyerahan lima trofi baharu yang menggantikan ‘Kasut Cinderella’ kepada semua pemenang Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2018 dalam tempoh seminggu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam berkata, penjaring terbanyak Liga Perdana bagi pemain tempatan, Bobby Gonzales dari Sarawak menjadi individu pertama yang menerima trofi terbaru itu.


“Kalau kita tengok dalam media sosial hari ini, Bobby sudah terima trofi dia. Dia penerima kasut pertama, saya sendiri yang menghantar kasut itu di Kota Kinabalu.

“Jadi, pada hari berikutnya, semua pemenang akan menerima trofi masing-masing. Saya sedang merancang untuk menghantar­nya sendiri.

“Dalam tempoh seminggu semua akan terima trofi baru ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini, ABK 2018 dihujani kritikan kerana trofi yang diberi kepada penjaring terbanyak dilihat tidak sesuai ekoran terlalu kecil.

Ia menerima pelbagai gelaran seperti mi­niatur kasut Cinderella, pe­ngasah pensel dan rantai kunci (keychain), sekali gus memaksa MFL menggantikannya dengan yang baharu.

Selain Bobby, empat lagi trofi akan diserahkan kepada Penja­ring Terbanyak Liga Super (import), Rufino Segovia dari Selangor; Penjaring Terbanyak Liga Super (tempatan), Shafiq Shaharudin (Kelantan) dan Penjaring Terbanyak Liga Perdana (import), Casagrande (Felcra FC).

Bobby, 34, mengucapkan te­rima kasih kepada MFL kerana sanggup datang ke Kota Kinabalu semata-mata mahu menyerahkan sendiri trofi baharu tersebut kepadanya.

Sumber : Utusan Online

No comments

Powered by Blogger.
a