Header Ads

ICERD: Mukhriz tersenyum, enggan ulas hal anak


Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir hanya tersenyum dan enggan mengulas berhubung tindakan anaknya yang menyelar peserta perhimpunan kesyukuran meraikan kejayaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), Sabtu lalu.
Mukhriz yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) kemudian menggelengkan kepala ketika diajukan soalan mengenai banyak kritikan diterima anaknya susulan status yang dimuatnaik di laman sosial, Instagramnya itu.
Anak Mukhriz melalui status yang dimuatnaik di laman sosial itu menyebut bahawa perhimpunan terbabit sebagai menjijikkan dan amat mengecewakan dengan berlatar belakang gambar peserta himpunan berkenaan.
Susulan status yang dimuatnaik itu, anaknya mendapat kritikan hebat daripada pelayar internet sebelum memuatnaik sebuah lagi status melahirkan kekecewaan terhadap bangsanya sendiri yang disifatkan penuh kebencian, diskriminasi dan pembuli.
Sabtu lalu, perhimpunan kesyukuran meraikan kejayaan menolak ratifikasi ICERD diketuai Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang turut disertai Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Sebelum ini, kerajaan membuat keputusan untuk tidak meratifikasi ICERD bagi mempertahankan Perlembagaan Persekutuan di mana didalamnya termaktub kontrak sosial yang dipersetujui oleh wakil semua kaum semasa pembentukan negara ini.
Sumber : Bharian 

No comments

Powered by Blogger.
a