Kematian Adib : Waytha Moorthy jadi sasaran kemarahan warga Malaysia
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy menjadi sasaran kemarahan warga internet (warganet) berikutan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim.
Media sosial sejak malam tadi turut dipenuhi desakan agar menteri yang ditugaskan menjaga perpaduan itu meletakkan jawatan.
Warganet yang meluahkan rasa kesedihan atas pemergian Muhammad Adib yang cedera parah akibat dipukul perusuh di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya bulan lalu mendakwa, Waytha Moorthy turut bertanggungjawab atas keganasan yang berlaku terhadap Muhammad Adib.
Warganet mendakwa tindakan Waytha Moorthy menyalahkan polis lambat bertindak dalam menangani insiden rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Putra Heights pada 26 November lalu menjadi antara faktor kemarahan perusuh.
Waytha Moorthy yang menjadikan foto Muhammad Adib sebagai gambar profile di Facebook beliau turut didesak untuk menurunkan gambar tersebut.
"Turunkan gambar Adib. Anda tidak berhak. Turunkan," kata Noreen A. G. Ghani.
"Penggunaan gambar ini adalah penghinaan kepada Allahyarham Muhammad Adib!" kata Sahruddin Esa.
"Atas apa yang telah berlaku dan apa yang baru berlaku beberapa jam tadi, sebagai manusia yang cintakan keamanan, saya menasihatkan YB Waytha Moorthy Ponnusamy letak jawatan demi kesejahteraan rakyat dan negara," kata Mohd. Fuad Rahmat.
Sementara itu Waytha Moorthy dalam hantaran di Facebooknya mengucapkan takziah yang tidak terhingga kepada keluarga Muhammad Adib.
Menurutnya, pihak polis sedang bekerja keras bagi memastikan pesalah jenayah kejam tersebut dibawa ke muka pengadilan dengan segera.
"Sebagai menteri yang bertanggungjawab bagi perpaduan nasional dan kesejahteraan sosial, saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia agar mendoakan Muhammad Adib ditempatkan bersama-sama yang beriman.
"Fabrik sosial negara ini terbina daripada perpaduan dan keamanan yang dikecapi dalam 60 tahun yang lalu dan marilah kita bersama-sama berdoa untuk Muhammad Adib dan keluarga beliau pada masa yang mencabar ini," kata Waytha Moorthy.
Mohammad Adib yang cedera parah dipukul dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November lalu disahkan meninggal dunia di IJN pada pukul 9.41 malam tadi.
Muhammad Adib sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada 23 Disember ini. Allahyarham dimasukkan ke IJN pada 27 November dilaporkan kembali kritikal dan perlu menggunakan semula mesin Extracorporeal Membrane Oxygenation (ECMO) selepas paru-parunya mengalami kemerosotan yang progresif akibat jangkitan pada 16 Disember.
Muhammad Adib terpaksa menggunakan semula mesin ECMO selepas penilaian mendapati paru-parunya mengeras.Fungsi buah pinggangnya juga tidak menunjukkan sebarang perubahan yang mana Allahyarham memerlukan sokongan dialisis.
Pada 10 Disember lalu, empat lelaki berusia antara 21 hingga 24 tahun yang dipercayai terlibat dalam kejadian pukul mangsa telah dibebaskan daripada reman dengan jamin bon mahkamah dan polis.
Mereka sebelum ini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Sumber : utusan
Post a Comment