Header Ads

Kucing sebagai 'hantaran' pertunangan


Majlis pertunangan yang diadakan di Kuantan baru-baru ini dianggap unik dan menjadi perhatian ramai apabila seekor kucing dijadikan antara tujuh barang hantaran pada majlis berkenaan.
Paling menarik, kucing itu seolah-olah memahami dan memberi kerjasama baik untuk kekal duduk dalam dulang hantaran sejak awal hingga selesai majlis berlangsung selama kira-kira dua jam.
Tengku Nurul Atika Nabiha Tengku Rosnan, 23, dan pasangannya, Mohamad Ibtisam Syafiq Azmi, 23, melangsungkan majlis pertunangan mereka di Taman Indra Sempurna, Kuantan, Pahang, dengan mencipta kelainan tersendiri pada 25 Disember lalu.
Tengku Nurul Atika berkata, tunangnya yang tinggal di Jerantut, Pahang pernah menyatakan hasrat menghadiahkan kucing kepadanya selepas kucing kesayangannya yang dipanggil Oyen mati Oktober lalu.
“Saya ternanti-nanti juga tunang memberikan kucing seperti dijanjikan, tetapi tidak sangka ia dijadikan satu daripada tujuh barang hantaran itu.
“Kucing yang diberikan itu sangat istimewa dan seolah-olah memahami situasi majlis sedang berlangsung dengan tidak berganjak daripada dulang hantaran.
“Kebanyakan tetamu majlis berasa pelik dengan tabiat kucing betina kacukan baka Parsi dan British Short Hair itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Tengku Nurul Atika berkata, kucing dipanggil Mimi itu dibeli tunangnya dengan harga RM350 daripada seorang pembiak kucing di Kuantan dan disuntik vaksin supaya tidak mengalami nasib sama seperti Oyen yang mati akibat dijangkiti penyakit.
“Bagi saya, hadiah hantaran kucing itu paling bermakna kerana ia membuktikan sikap keprihatinan tunang yang tahu saya sangat sayangkan haiwan itu,” katanya.
Beliau berkata, majlis pertunangannya itu memang agak berbeza dengan kebiasaan, tetapi mendapat sokongan keluarga dan rakan.
Sementara itu, neneknya, Fatimah Mamat, 60, berkata sepanjang hidupnya dia tidak pernah melihat kucing dijadikan hantaran.
“Memang kami terkejut juga, tetapi boleh menerimanya dengan hati terbuka kerana mengetahui sikap Tengku Nurul Atika yang penyayang pada haiwan terutama kucing,” katanya.
Sumber : bharian, utusan 

No comments

Powered by Blogger.
a