Nahas Lion Air yang terhempas dedah kelemahan
![]() |
GAMBAR bertarikh 27 November 2018 menunjukkan sebuah pesawat Lion Air dan Garuda mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Tangerang, Indonesia. AFP |
Landasan berbonggol, kesilapan keselamatan, landasan tanpa sistem navigasi di samping kekurangan juruterbang dan kakitangan penyelenggaraan berpengalaman merupakan antara masalah yang membelenggu industri aviasi Indonesia dan semua itu perlu diperbaiki.
Indonesia mempunyai pasaran aviasi antara paling pesat berkembang di dunia tetapi mengundang kritikan baharu sejak nahas maut sebuah pesawat Lion Air pada bulan lalu yang berlaku ketika sektor tersebut bergelut untuk menangani pertumbuhan pesat tersebut, mengakibatkan aspek keselamatan terabai, kata beberapa penganalisis.
“Pertumbuhan pesat dalam permintaan dan operasi menyaksikan lebih banyak kemalangan yang sepatutnya boleh dielak berlaku,” kata pakar aviasi daripada Universiti Leeds, Stephen Wright.
Pada Rabu lepas, pasukan penyiasat mengeluarkan laporan awal menyatakan bahawa penerbangan JT610 tersebut mengalami masalah teknikal yang gagal dibaiki oleh Lion AIr sebelum penerbangan terakhirnya.
Kesemua 189 penumpang dan kru terbunuh apabila pesawat baharu jenis Boeing 737 MAX itu menjunam ke Laut Jawa tidak lama selepas berlepas.
Meskipun Pasukan penyiasat tidak menyalahkan Lion Air secara langsung atau mengenal pasti punca nahas pada 29 Oktober lalu itu, mereka berkata, syarikat penerbangan tambang murah tersebut perlu mengambil langkah perlu untuk menambah baik budaya keselamatannya.
Walaupun mempunyai rekod keselamatan yang lemah dan banyak aduan diterima mengenai perkhidmatannya, induk syarikat penerbangan berkenaan, Lion Air Group telah mendominasi separuh daripada pasaran domestik kurang 20 tahun selepas beroperasi.
Dalam pada itu, rekod keselamatan Indonesia juga bertambah baik, kata sebilangan penganalisis sejak syarikat-syarikat penerbangannya termasuk Garuda dilarang memasuki ruang udara Amerika Syarikat dan Eropah selama beberapa tahun kerana melanggar aspek keselamatan.
Bagaimanapun, negara itu merekodkan sebanyak 40 nahas udara maut sejak 15 tahun lalu. – AFP
Sumber : Kosmo
Post a Comment