Header Ads

Piala AFF Suzuki : Panduan menonton di stadium - kepada rakyat negara bertamadun bernama Malaysia

Latihan Rasmi Skuad Harimau Malaya di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam

Pasti semua rakyat Malaysia sangat berdebar dan semangat untuk menyaksikan pasukan Harimau Malaya beraksi dalam perlawanan bola sepak malam ini.

Berikutan dengan isu hangat jualan tiket laris bagaikan 'goreng pisang panas' untuk perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018 antara Malaysia dan Vietnam bermula jam 8.45 malam, Menteri Belia dan Sukan, , Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terpanggil untuk  membuat kenyataan di laman Instagram miliknya. 


Antara kata-kata Syed Saddiq untuk mereka yang tidak bernasib baik menonton secara 'live' di stadium, mereka berpeluang menonton perlawanana tersebut di 'live screening' Axiata Arena bersebelahan dengan Stadium Bukit Jalil.


“Sementara kita menyiasat dan mencari jalan penyelesaian jangka masa panjang bersama FAM, pihak KBS dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) akan membuka Axiata Arena di sebelah Stadium Bukit Jalil untuk 'live screening' buat rakyat Malaysia,” memetik kapsyen gambar yang dimuat naik Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Instagram.


Beliau pada masa sama turut memaklumkan bahawa pihaknya sedia membantu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mencari jalan penyelesaian kepada isu sistem penjualan tiket yang sejak sekian lama menjadi rungutan peminat bola sepak negara.

Kemasukan ke Axiata Arena pada hari perlawanan pada Selasa ini adalah percuma, namun anda dinasihatkan untuk datang awal kerana tempat terhad kepada 15,000 penyokong sahaja.




Stadium Nasional Bukit Jalil yang gah menjadi rumah Harimau Malaya mempunyai lebih 87,000 tempat duduk dan ada masa mampu memuatkan sehingga 100,000 penonton. Adrenalin yang sememangnya memuncak untuk berada dalam kalangan ribuan penonton yang berkobar-kobar.



Kepada anda yang tergolong dalam kelompok bertuah yang berjaya mendapatkan tiket (walau dengan cara apa sekalipun), berikut adalah beberapa panduan menonton di stadium sebagai peringatan bahawa kita bangsa bertamadun:


1. Jangan bertolak-tolak. Kawasan stadium yang bertingkat-tingkat adalah berisiko tinggi untuk berlakunya kejadian yang tidak diingini sekiranya kita cuai, lebih-lebih lagi ketika manusia sedang bersesak.


2. Duduk ikut di tempat yang ditetapkan pada tiket anda. Macam menonton di panggung wayang, kita seeloknya jangan duduk di tempat yang bukan kita punya. Kalau anda berebut tempat duduk kerana nombor tempat yang ditulis pada tiket anda itu adalah sama, mungkin salah seorang (atau lebih) daripada anda sudah ‘dikencing’ ulat tiket. Jaga-jaga.


3. Jangan merokok. Anda nyalakan rokok, bererti anda menyalakan juga api kemarahan orang keliling lebih-lebih lagi yang bukan perokok. Bertimbang rasalah, tahan seketika desakan untuk merokok itu. Sebab itu Tuhan suruh puasa, latih kawal diri bukan setakat makan minum sahaja.


4. Kawal emosi. Jangan baling objek sewenang-wenangnya. Anda boleh mencederakan orang lain, lebih buruk lagi mangsa langsung tidak tahu siapa yang mencederakannya. 


5. Urus sampah anda dengan sebaiknya dan penuh bertanggungjawab. Ini kan rumah kita. Kalau boleh kita mahu 'tamatkan' profesion pengutip sampah memandangkan boleh kata semua yang membuat kerja itu adalah orang asing. Lambakan warga asing pula nanti dijadikan alasan mengapa ramai rakyat Malaysia menganggur. Takkan kutip sampah sendiri pun mahu dibayar?


6. Patuhi undang-undang dan peraturan ditetapkan. Jangan bawa barang-barang seperti mercun, objek-objek berbahaya, batang kayu atau sebagainya. Kita datang nak menonton dan bersorak, bukan nak bergaduh.



Demikian enam panduan asas mudah untuk diikuti. Kalau anda dapat mematuhi kesemuanya, tahniah dan berbanggalah bahawa anda berjaya menampilkan sifat sepatutnya rakyat sebuah negara hebat yang bernama Malaysia. Teruskan amalan murni itu dan bawanya ke mana sahaja anda pergi.


Kita bersorak menyokong pasukan negara, memakai bendera di dada. Tetapi ramai yang kurang sedar, pada masa sama sebenarnya kita menggalas maruah negara bersama. Sikap dan tabiat kita adalah wajah dan rupa Malaysia.


Ini zaman #MalaysiaBaharu, Malaysia yang mahu berubah. Namun ingatlah, tidak ada apa yang akan berubah jika segalanya tidak bermula dari diri kita sendiri.



Sila 'share' kepada semua rakan dan keluarga anda yang bersemangat untuk menyokong pasukan Harimau Malaya kita.

Sumber : Awani 

No comments

Powered by Blogger.
a