Header Ads

Insiden ke-5 Jambatan Pulau Pinang : PLUS tampil beri cadangan pada kerajaan



Malaysia dikejutkan dengan kes kemalangan yang membabitkan sebuah kereta SUV dipandu seorang penuntut kolej swasta terhumban ke laut selepas kemalangan dengan sebuah kereta Toyota Vios di Km4.0 Jambatan Pulau Pinang menghala Perai, dalam kejadian pada 2.54 pagi Isnin.

Walau bagaimanapun, pasukan penyelam telah menemui  bangkai kenderaan  utiliti sukan (SUV) Mazda CX-5 pada pukul 4 petang semalam. Bangkai kenderaan itu berjaya ditemui pada kedalaman kira-kira 15 meter dari mana ia terhumban selepas melanggar penghadang.

Kereta itu ditemukan berhampiran tiang 34 Jambatan Pulau Pinang, pasukan penyelam akan turun sekali lagi ke lokasi penemuan kereta itu bagi melihat keadaan sebenar kenderaan dan pemandu berkenaan.


Pemasangan kamera had laju


Sejak tahun 2010, ini adalah insiden kali ke-5 di Jambatan Pulau Pinang dan kes ini membuatkan Plus Malaysia Berhad (PLUS) tampil kemukakan cadangan kepada pihak kerajaan bagi pemasangan kamera had laju di Jambatan Pulau Pinang selain menambah kamera itu di semua lebuh raya kendalian PLUS.
Pengarah Urusannya Datuk Azman Ismail berkata pemasangan dan penambahan kamera had laju itu bagi mengurangkan kadar kemalangan di lebuh raya.

“Buat masa ini, Jambatan Pulau Pinang hanya mempunyai kamera litar tertutup (CCTV). Justeru dalam proposal (cadangan) yang telah kita buat sebelum ini untuk tambah pemasangan kamera had laju di lebuh raya kita, kita masukkan juga Jambatan Pulau Pinang sebagai tambahan untuk pemasangan kamera had laju,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Op Selamat 14 Tahun Baharu Cina di R&R Seremban arah utara, Seremban di sini, hari ini.
Operasi untuk menarik keluar kenderaan tersebut sedang dijalankan dan mungkin mengambil masa berikutan arus di dasar laut yang deras. Kenderaan tersebut akan diapungkan sebelum dinaikkan menggunakan kren menerusi Jambatan Pulau Pinang.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata keadaan itu akan membahayakan penyelam untuk mengikat tali kabel di kereta sebelum diangkat oleh kren.
Operasi hari ini melibatkan 40 penyelam daripada Pasukan Polis Marin, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Maritim Malaysia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Sumber : BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.
a