Header Ads

(UPDATE) Mangsa terhumban ke dalam laut Jambatan Pulau Pinang dikenalpasti, pemandu Toyota Vios positif ganja

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) sebuah kereta bersama pemandunya yang terhumban ke dalam laut selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang, awal pagi semalam disambung semula pukul 7 pagi hari ini.


Pasukan Polis Marin melakukan operasi mencari sebuah kereta yang terhumban ke dalam laut selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya dengan sebuah lagi kereta di Kilometer 4 Jambatan Pulau Pinang.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1 ACP Rosman Ismail berkata operasi SAR yang ditamatkan kira-kira pukul 7 petang semalam dan bermula pagi ini dengan kekuatan kira-kira 30 pegawai dan anggota Pasukan Polis Marin dengan kerjasama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang.


"Selain itu, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) turut terlibat dalam operasi hari ini dan sebanyak lima buah bot masing-masing dua dari Polis Marin dan JBPM serta sebuah dari APMM," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.



Pemandu kereta SUV yang terhumban dalam laut dikenalpasti identiti

Moey Yun Peng

Menurut laporan BERNAMA, polis telah mengenalpasti identiti pemandu kereta yang terhumban ke dalam laut iaitu
Moey Yun Peng, selepas terbabit dalam kemalangan di Jambatan Pulau Pinang semalam.




Pemandu Toyota Vios positif ganja



Kemalangan yang membabitkan satu lagi kereta di jambatan Pulau Pinang iaitu kereta Toyota Vios, didapati pemandunya berusia 21 tahun adalah positif ganja. 

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, keputusan itu diketahui selepas ujian saringan awal dilakukan terhadapnya.
Menurutnya, polis juga sudah mengambil sampel darah mangsa untuk mengetahui kandungan alkohol dalam badannya.
“Pemandu Toyota Vios berkenaan kini masih mendapatkan rawatan di hospital swasta kerana mengalami kecederaan di kepala, kaki dan tangan.
“Sebelum ini, dia dihantar ke Hospital Seberang Jaya dan dibenarkan pulang, namun pengsan ketika berada di rumah dan dikejarkan ke hospital swasta,” katanya.
Dalam kejadian 2.45 pagi semalam, dua kenderaan masing-masing Toyota Vios hitam dan kenderaan utiliti sukan (SUV) putih terbabit dalam kemalangan di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang menuju ke Perai.
Pemandu Toyota Vios berusia 21 tahun dan bekerja sebagai pendandan rambut cedera dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut, manakala SUV putih itu pula berpusing beberapa kali sebelum terjunam dalam laut.
Identiti pemandu SUV itu dikenalpasti sebagai Moey Yun Peng, 20, selepas bapanya membuat laporan polis 5 petang, semalam kerana anaknya yang juga penuntut sebuah kolej swasta itu masih tidak pulang.
Sementara itu, Nik Ros Azhan berkata, pemandu Toyota Vios dan SUV itu adalah rakan sejak di bangku sekolah dan mereka dalam perjalanan pulang selepas menyambut parti hari jadi di kelab di Lebuh, Chulia, Georgetown.
“Mereka berdua bersama lima lagi rakan baru selesai menyambut hari jadi dan dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di seberang.
“Lima lagi rakan mereka pula tinggal di bahagian pulau,” katanya.

Menurutnya, polis juga sedang menyiasat sama ada mereka berlumba atau sebaliknya.


(VIDEO) Detik cemas kereta terhumban ke dalam laut 



Sumber : Bernama, metro

No comments

Powered by Blogger.
a