Header Ads

"Kalau babi je haram..." - Peniaga Melayu Jual Patung Babi Sempena Tahun Baru Cina


Seperti biasa peniaga bazar di Riverson Walk di Kota Kinabalu Times Square sibuk dengan jualan pelbagai barangan untuk menarik pelanggan.
Dalam kalangan peniaga itu terdapat sepasang suami-isteri Melayu-Islam, Adam Baderun dan Yuslina Badrum, yang tidak ketinggalan menjual barang perhiasan, khas dibuat untuk Tahun Baru Cina yang disambut pada 5 dan 6 Februari ini.
Barang perhiasan seperti rantai kunci, pin dan tanda buku disusun rapi untuk memikat pelanggan, tetapi yang paling menarik perhatian adalah patung babi, binatang yang menjadi ikon perayaan kepada kaum Cina tahun ini.
Babi sebenarnya dianggap tidak bersih dalam kalangan msyarakat Melayu-Islam, tetapi pasangan warga Sabah ini tidak ada masalah menjual patung babi.
Pelanggan mereka juga tidak nampak terkejut atau marah melihat Yuslina yang bertudung menjual patung babi.
Yuslina yang lebih mesra dipanggil Yus, adalah dari keturunan Kadazan-Sungai.
“Perniagaan macam biasa sahaja. Tak ada reaksi pelik daripada pelanggan, malah mereka beri komen positif,” dia memberitahu FMT.
Yus, seorang guru sekolah menengah, tidak faham mengapa haiwan tersebut boleh menimbulkan kekecohan di sesetengah tempat.
Kalau orang faham agama mereka, mereka tidak akan jadi kecewa dengan perkara-perkara kecil.
Bagi saya, (menjual patung babi) tidak jadi isu. Babi dan anjing adalah ciptaan Tuhan juga. Selagi kamu pegang ajaran agama, seperti tidak makan babi, kamu okay sahaja,” katanya.
Katanya lagi, menjual patung babi tidak menjadi isu di Sabah kerana rakyatnya yang hidup berbilang kaum dan saling menghormati budaya kaum lain. Ujarnya lagi, menjual barang hiasan tersebut tidak menggoyangkan akidah dan ia hanyalah barang seni.
Di semenanjung, menyebut babi boleh akibatkan (orang angkat) bendera merah, tapi kita tahu akidah kita. Jual ikon itu tidak akan menggoyang akidah kita. Kita tak makan daging babi. Barang-barang hiasan itu cuma seni.
Kita tidak pandang rendah budaya orang lain. Di Sabah, kita tinggal dalam suasana pelbagai kaum dan pelbagai bangsa dan agama dan kita bertolak ansur sesama kita. Kita belajar menghargai kepercayaan masing-masing,” katanya.
Menurut Adam, sebelum ini mereka juga pernah menjual barang perhiasan sempena Krismas, termasuk ukiran yang mempunyai ayat-ayat daripada Injil.
Kami juga terima tempahan barang perhiasan daripada pelanggan. Kami tahu akidah kami dan (menjual barang-barang seperti ini) tidak mengganggu akidah kami. Ia hanya seni,” katanya.
Sumber : FMT

No comments

Powered by Blogger.
a