Header Ads

75,352 Pesara Dapat Bayaran Khas Sebanyak RM500 Secara 'One-off' Esok


Seramai 75,352 penerima pencen di bawah RM1,000 akan menerima bayaran khas sebanyak RM500 secara ‘one-off’ atau sekali sahaja, mulai esok, menurut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
JPA dalam kenyataan hari ini berkata bantuan itu dilaksanakan sejajar dengan keputusan Belanjawan 2019 yang dibentangkan pada 2 Nov 2018.
“Keprihatinan kerajaan dalam melaksanakan pembayaran secara one-off sebanyak RM500 diharapkan dapat memberi keselesaan dan memenuhi keperluan semasa para pesara Kerajaan yang terlibat,” katanya.
Menurut JPA, senarai penerima terbabit dikenal pasti dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) bagi memastikan bantuan secara one-off itu dibayar kepada penerima pencen yang layak.
Katanya semakan secara menyeluruh dibuat melalui pelbagai agensi antaranya Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM), Bendahari Negeri, Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia (PERKESO), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
JPA berkata pesara yang mempunyai sebarang pertanyaan lanjut mengenai pembayaran bantuan itu boleh menghubungi talian 03-8885 4648/ 4432/ 4667 pada hari bekerja mulai pukul 9 pagi hingga 5 petang atau emel kepada bantuanoneoff@jpa.gov.my.
Sumber : Bernama

No comments

Powered by Blogger.
a