Header Ads

Anjurkan 'Pertandingan Tidur Dalam Kubur' Berserta Hadiah, Mangsa Rasa Terancam Nombor Disalahgunakan Oleh Individu Tidak Dikenali


Penuntut wanita jurusan kejururawatan sebuah universiti awam membuat laporan polis selepas nombor telefonnya ditularkan di media sosial kononnya menawarkan pertandingan Tidur Dalam Kubur.
Malah, menerusi pesanan yang tular sejak pagi tadi, dikatakan bahawa pemenang tempat pertama pertandingan berkenaan akan memenangi wang tunai RM5,000 serta pakej mengerjakan umrah di Tanah Suci.
Wanita pemilik nombor telefon berkenaan, Julie Christine Martin, 21, berkata, sejak mesej itu tular lebih 500 individu menghubunginya menerusi aplikasi WhatsApp termasuk panggilan telefon.
Katanya, kerana tidak tahan diganggu dan merasa terancam, dia membuat laporan polis di Balai Polis Alamesra, Kota Kinabalu, Sabah, kira-kira jam 11 pagi.

Saya tidak tahu siapa yang menyebarkan nombor telefon saya namun tindakan berkenaan menyebabkan saya rasa terganggu dan tidak selamat.
“Saya bukan beragama Islam sebaliknya penganut agama Kristian, mana mungkin saya menawarkan pertandingan sedemikian yang menawarkan hadiah kemenangan termasuk mengerjakan umrah itu,” katanya ketika dihubungi hari.
Julie berkata, buat masa ini dia akan mengambil tindakan mematikan nombor telefonnya serta akaun media sosial.
Katanya, malah dia juga terpaksa meminta beberapa rakannya untuk menafikan kewujudan pertandingan itu dan memaklumkan bahawa nombor telefonnya disalah gunakan pihak tidak bertanggungjawab.
Saya tidak tidak pasti motif mereka tapi ini kali pertama kejadian nombor telefon saya disalahguna pihak tidak bertanggungjawab dan saya berharap hentikan perkongsian mengenai pertandingan itu.
“Saya harap orang ramai jelas dengan penjelasan ini dan berhenti menghuhungi saya. Lagipun, tidak logik jika wujudnya pertandingan seperti itu dan orang ramai sepatutnya menggunakan akal mereka untuk menilainya,” katanya.
Sejak pagi tadi, tular satu pesanan di media sosial seperti Facebook dan WhatsApp mengenai pertandingan Tidur Dalam Kubur menawarkan hadiah wang tunai kepada tiga pemenang selain pakej mengerjakan umrah.
Menerusi mesej itu, peserta berminat dikehendaki tidur di dalam liang lahad bertutup selama lapan jam pada waktu tengah malam di kawasan perkuburan di Hulu Langat, Selangor dalam pertandingan bakal diadakan pada 23 Mac ini.
Pemenang tempat pertama akan menerima hadiah wang tunai RM5,000 serta pakej umrah di Tanah Suci, manakala tempat kedua dan ketiga akan memenangi wang tunai RM3,000 dan RM1,000.
Mereka juga diminta menghubungi individu bernama En Selamat berhubung soal pendaftaran yang menggunakan nombor telefon wanita itu.
Mesej itu turut menyatakan bahawa pertandingan diadakan bagi memberi kesedaran kepada umat Islam mengenai kematian adalah sesuatu yang pasti berlaku.
Sumber : hmetro

No comments

Powered by Blogger.
a