Header Ads

Lagi pembuangan sisa toksik ditemui di Johor



Dalam kesibukan pihak berkuasa melakukan operasi pembersihan terhadap Sungai Kim Kim yang tercemar di Pasir Gudang, Johor, dua lokasi pembuangan sisa toksik dikesan di sepanjang Sungai Masai dan Sungai Semilang di negeri itu.

Penemuan baru sisa toksik di dua lokasi telah dikesan di sepanjang Sungai Masai

Difahamkan, pihak berkuasa yang dimaklumkan mengenai penemuan tersebut di Sungai Masai pada hari Ahad lalu telah segera ke lokasi itu iaitu sepanjang Lebuhraya Pasir Gudang, menghala Johor Bahru.

Menurut sumber, lebih 10 tong plastik biru, dipercayai mengandungi bahan kimia, diambil dari Sungai Masai, yang merupakan salah satu saliran utama di Johor.

Berdasarkan semakan terhadap sungai itu, kira-kira 18 kilometer jauh dari Sungai Kim Kim, menunjukkan ia mengalir terus ke Selat Johor di sempadan Singapura.

Sementara itu, kira-kira tujuh tong ditemui dekat Sungai Semilang di Taman Tanjung Puteri Resort pada kira-kira 2.30 petang Isnin.

Sungai itu terletak kira-kira 2 kilometer dari Sungai Kim Kim, di mana pembuangan sisa toksik di sekitar kawasan tersebut menjadi perhatian sejak awal bulan ini, sekaligus mengakibatkan lebih 4,000 orang dirawat.

Penemuan itu juga hanya 500 meter dari SMK Tanjung Puteri Resort, salah satu daripada 111 sekolah yang diarahkan tutup sejak Rabu minggu lalu, berikutan asap toksik daripada pencemaran sungai tersebut.

Penemuan banyak tong di longkang dan bawah jambatan

Tong-tong berkenaan ditemui di sebuah longkang dan di bawah jambatan yang menghubungkan Taman Tanjung Puteri dan Taman Pasir Putih.

Pada Isnin, dua anggota polis tiba di lokasi kejadian untuk meletakkan penghadang di sekitar kawasan itu untuk melarang pihak media dan orang awam memasukinya.

Terdahulu, The Star melaporkan terdapat tanda-tanda baharu mengenai lokasi pembuangan sisa toksik lain dalam lingkungan 5 kilometer dari Sungai Kim Kim.

Dalam satu kenyataan pada malam Isnin, Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian menggesa orang ramai untuk tidak pergi ke dua lokasi baharu bagi pembuangan haram di Sungai Masai dan Sungai Semilang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kempas itu berkata, beliau mengarahkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri untuk segera menyiasat beberapa laporan tersebut.

"Saya serius meneliti laporan dan aduan mengenai beberapa pembuangan bahan kimia di Masai.

"Saya telah mengarahkan agensi keselamatan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat dan polis untuk menutup dua kawasan itu," katanya.

Sementara menunggu laporan penuh JAS, beliau berkata, kawasan tersebut akan ditutup sehingga kerja-kerja pembersihan, kawalan dan siasatan dijalankan.

Sumber : The star

No comments

Powered by Blogger.
a