Header Ads

Pesawat Terhempas : Ethiopian Airlines Bawa Penumpang Dari Sekurang-kurangnya 35 Negara

Serpihan daripada bangkai pesawat Ethiopian Airlines yang terhempas sejurus selepas ia berlepas
Sebuah pesawat penumpang dari Addis Ababa, Etiopia dilapor terhempas pada Ahad. Pesawat Boeing 737 milik Ethiopian Airlines bagi penerbangan ET302 yang dalam penerbangan ke Nairobi, Kenya itu telah terhempas berhampiran Addis Ababa, membunuh kesemua 149 penumpang dan lapan anak kapal, membawa penumpang dari sekurang-kurangnya 35 negara. 

Kejadian dilapor berlaku pada jam 8.44 pagi waktu tempatan sejurus selepas pesawat itu berlepas dari Addis Ababa.
Susulan nahas, Pejabat Perdana Menteri Etiopia pada Ahad mengucapkan takziah kepada keluarga penumpang dan kru.

Pejabat Perdana Menteri, bagi pihak kerajaan dan rakyat Etiopia, melahirkan rasa duka cita kepada keluarga yang kehilangan tersayang dalam nahas Ethiopian Airlines Boeing 737 yang dalam penerbangan ke Nairobi, Kenya pagi ini.”

Menurut portal Flightradar24, pesawat itu sepatutnya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Jomo Kenyatta jam 10.25 pagi waktu tempatan.

Pesawat Boeing 737 MAX 8 itu didakwa baru digunakan sekitar empat bulan lalu.

Menteri Pengangkutan Kenya James Macharia, yang mengesahkan perkara itu dalam satu sidang akhbar di Addis Ababa pada Ahad, berkata terdapat 32 penumpang rakyat Kenya, 18 rakyat Kanada, enam dari China dan lima dari Belanda.

Penumpang lain terdiri daripada enam rakyat Mesir, sembilan dari Ethiopia, tujuh masing-masing dari Perancis dan UK, empat dari India, lapan dari Itali, empat dari Slovakia dan lapan dari Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, kewarganegaraan dua lagi penumpang tidak dapat dipastikan.

Pesawat penumpang itu, yang terhempas beberapa minit sejurus berlepas, dalam perjalanan ke Nairobi dari Addis Ababa.

Dilaporkan juga bahawa beberapa penumpang dalam perjalanan untuk menghadiri satu persidangan Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Nairobi.

Sementara itu, menjawab soalan Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama, Pegawai Komunikasi Alam Sekitar PBB, Shari Nijman, berkata pihaknya amat dukacita dengan berita mengenai nahas yang menimpa Ethiopian Airlines.

Kami sedang mengikuti perkembangannya dengan teliti,” menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan agensi Alam Sekitar PBB itu pada Ahad.

Shari Nijman juga berkata agensi itu sedang berhubung dengan pegawai terbabit bagi mengenal pasti wakil PBB yang mungkin berada dalam pesawat tersebut.

Sumber : BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.
a