Header Ads

"Tak Perlu Isytihar Darurat, Tak Perlu Pemindahan" - PM




Rentetan dari peristiwa tular satu Malaysia akibat daripada pencemaran sisa bahan kimia, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menegaskan tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat bencana di Pasir Gudang memandangkan situasi pencemaran ekoran pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim, dalam keadaan terkawal.

Bagaimanapun, Perdana Menteri mengingatkan semua pihak untuk terus berhati-hati memandangkan situasi pencemaran masih belum berakhir.

Belum sampai tahap darurat


“Tidak...belum sampai tahap itu (darurat). Kita tidak perlu isytihar darurat, tidak perlu pemindahan, tetapi kita perlu berhati-hati.

“(Dan) mereka yang ditugaskan untuk mengawal keadaan ini mesti bersedia menangani masalah (kesan pencemaran) yang berlaku,” kata beliau kepada pemberita selepas melawat mangsa-mangsa pencemaran di Hospital Sultan Ismail, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada keperluan untuk mengisytiharkan darurat bencana dan keperluan untuk memindahkan penduduk dari kawasan zon bencana ekoran pencemaran berkenaan.

Kita tidak boleh mengatakan yang terburuk sudah berakhir


Ketika ditanya sama ada yang terburuk berakhir berdasarkan bilangan mangsa akibat kesan pembuangan kimia secara haram Khamis lepas, Dr Mahathir berkata: "Kita tidak boleh mengatakan yang terburuk sudah berakhir."

Sebaliknya, kita tidak fikir ia akan menjadi lebih serius daripada sekarang. Tetapi yang penting ialah mereka tahu bagaimana menangani masalah ini," katanya.

JPB Negeri cekap 



Dr Mahathir turut memuji kecekapan dan kepakaran agensi-agensi di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri terutamanya petugas perubatan dan keselamatan kerana berjaya menangani dan mengawal impak pencemaran dari menjadi lebih teruk.

Saya dapati dalam taklimat yang diberi dari pelbagai pihak bahawa mereka telah menjalankan tugas dengan sempurna walaupun kes seperti ini tidak pernah berlaku tetapi nampak dari segi bomba, polis, hospital sekolah dan lain lain, mereka telah menangani masalah ini dengan cekap dan berhasil,” kata beliau. 

Kecekapan doktor dan petugas perubatan “luar biasa”


Beliau turut menyifatkan kecekapan doktor dan petugas perubatan “luar biasa” kerana sedar dan tahu bagaimana menangani “gas beracun” seperti ini. 

“Saya yakin akan kebolehan kita untuk memulihkan mereka (mangsa) dari gas yang beracun.

“Masyarakat juga mesti menganggap ini (pencemaran) sebagai satu perkara yang serius tapi perlu ingat kebolehan mereka (petugas) yang bertugas berjaya menyelamatkan mangsa baik, berhasil...itu sebab keadaan terkawal,” kata Dr Mahathir.

Sumber : BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.
a