Header Ads

Tragedi Solat Jumaat : ‘Sepatutnya Suami Solat Jumaat Di Masjid Itu..’ – Rakyat Malaysia Kongsi Cerita Suami Terselamat Daripada Tembakan



Rentetan peristiwa tembakan rambang di masjid di tengah-tengah Chirstchurch, New Zealand, salah satu keluarga dari kalangan rakyat Malaysia yang menetap di sana terselamat daripada peristiwa itu.



Sepatutnya suami berada di masjid itu hari ini tetapi ...

Sepatutnya suami berada di Masjid Al Noor untuk Solat Jumaat hari ini tetapi disebabkan kekangan kerja, dia terpaksa menunaikan solat di pejabat sahaja.


“Mujur, kejadian tembakan berlaku ketika suami tiada kerana kebiasaannya, dia akan berada awal di masjid itu sementara menunggu masuk waktu solat," kata rakyat Malaysia yang menetap di Christchurch, New Zealand, Nor Aida Baharudin, 48.
Menurut Nor Aida, ketika kejadian dia sedang berniaga trak makanan di pusat bandar sebelum menerima panggilan daripada suami, Japi Zin Sulaiman, 52 dan empat anaknya.
Kata Nor Aida, mereka memintanya mengemaskan barang-barang dan kembali ke rumah dengan segera kerana serangan berkenaan.
Katanya, dia terkejut dan tidak percaya serangan itu boleh berlaku kerana rakyat New Zealand sememangnya terkenal dengan sikap ramah dan mereka juga melayan pelancong dengan baik.
"Selama lebih 18 tahun berhijrah ke sini, ini kejadian paling buruk pernah kami lalui.
"Kejadian itu dianggap yang terburuk dalam sejarah New Zealand dan ia turut diakui oleh Perdana Menteri, Jacinda Arden," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Pengusaha agensi pelancongan itu berkata, sehingga kini, suami dan anak perempuannya masih berada di pejabat serta universiti kerana pihak berkuasa tidak membenarkan mereka pulang sehingga keadaan selamat.
Katanya, Masjid Al Noor terletak di kawasan Riccarton iaitu kira-kira 12 kilometer dari kediamannya.


"Masjid itu adalah yang terbesar di Christchurch dan menjadi tumpuan umat Islam di sini untuk menunaikan solat Jumaat dan solat lima waktu lain.
"Ia juga menjadi tumpuan rakyat Malaysia yang berada di sini ," katanya menambah terdapat kira-kira 300 rakyat Malaysia yang berada di Christchurch termasuk pelajar.
Menurut Nor Aida lagi, ketika ini semua premis pentadbiran dan sekolah diarahkan ditutup sementara keadaan di sahkan selamat.
Selain itu, penduduk Christchurch juga diarahkan untuk berada di rumah masing-masing dan mereka mengikuti perkembangan semasa menerusi laporan televisyen.
"Ramai anggota keselamatan berada di jalanan untuk mengawal keadaan dan penduduk tidak dibenarkan keluar rumah.
"Apapun, saya dan suami masing-masing saling berhubung dengan keluarga serta rakan-rakan di Malaysia untuk memaklumkan perkembangan terkini kerana mereka turut risau dengan apa yang berlaku.
"Keadaan ketika ini masih terkawal dan berharap rakyat Malaysia turut mendoakan keselamatan kami semua yang berada di sini," katanya.
Sementara itu, dua insiden tembakan dilaporkan berlaku di dua masjid di bandar raya itu pada 1.45 tengah hari Jumaat (waktu tempatan).
Seorang saksi berkata, dia melihat seorang lelaki memasuki Masjid Al Noor dan mendengar puluhan das tembakan dilepaskan.
Tiada kenyataan rasmi mengenai jumlah mangsa yang terbunuh dikeluarkan kerajaan New Zealand, namun difahamkan seorang rakyat Malaysia turut terkena tembakan rambang itu.
Sumber : Harian metro

No comments

Powered by Blogger.
a