Header Ads

"Kenapa Aku Nampak Kasut Ni Warna Pink?" -Pakar Perjelas Kekeliruan Netizen Nampak Kasut Warna Hijau & Pink



Pada awal Mei lalu, kecoh di laman sosial netizen mempersoal warna kasut yang dikatakan ada yang nampak warna pink dan ada pula yang nampak warna hijau, kelabu dan putih pada kasut tersebut. Ada pula yang membuat tafsiran bahawa warna apa yang dilihat pada kasut itu bergantung pada dominan otak kiri dan kanan. Sejauh mana kebenarannya? Pakar telah merungkai tafsiran dengan beberapa kaji selidik.


Gambar kasut ini mencetuskan perbalahan dalam kalangan pengguna media sosial. - Twitter @wondeukist

Rata-rata
 netizen memiliki tafsiran warna yang berbeza terhadap gambar di atas walaupun ia adalah sekeping gambar yang sama.

Gambar yang dimuat naik oleh seorang pengguna Twitter @wondeukist pada 13 Oktober 2017 itu tular sekali lagi baru-baru ini sehingga mencetuskan perbalahan dalam kalangan netizen.


Menerusi posting tersebut, @wondeukist membuat undian secara terbuka kepada pelayar Twitter bagi menentukan warna sebenar kasut tersebut.

"RT jika anda nampak warna merah jambu dan putih, suka jika anda nampak warna kelabu dan hijau pudina," tulisnya pada posting tersebut.

Lebih 131,000 bersependapat bahawa kasut berkenaan berwarna kelabu dan hijau pudina, manakala lebih 22,000 lagi mengundi warna merah jambu dan putih.

Tafsiran dominan otak kanan dan otak kiri

Selepas gambar tersebut menimbulkan perdebatan, timbul pula teori yang mengatakan perbezaan tafsiran itu menunjukkan tahap dominan otak kanan dan kiri individu terbabit.

Teori itu mendakwa mereka yang melihat warna kelabu dan hijau pudina merupakan seorang yang dominan otak kiri dan begitu pula sebaliknya.

Pegawai perubatan Dr Latif Saad dipetik melalui penulisannya di laman web The Diagnosa berkata, teori tersebut tidak dibuktikan kebenarannya dan terdapat kajian yang menunjukkan ia hanyalah mitos semata-mata.

"Penjelasan yang mudah adalah setiap daripada individu mempunyai tafsiran yang berlainan berkenaan dengan cahaya bergantung kepada pendedahan cahaya yang individu itu terima sebelum ini.

"Tabiat ini dikenali sebagai unconscious inferences (inferens tidak sedar) atau dalam bahasa mudahnya, otak anda akan mentafsir secara automatik warna objek yang dilihat tanpa memerhatikan aspek satu lagi iaitu warna cahaya/pencahayaan (illumination)," jelasnya pada artikel tersebut.

Oleh itu katanya, bergantung kepada bagaimana otak kita mentafsirkan warna tersebut dan tafsiran otak tersebut pula bergantung kepada pendedahan warna, keadaan cahaya yang berlaku ketika itu dan juga pengalaman seseorang sebelum ini.


Gambar gaun ini juga pernah tular kerana menimbulkan perdebatan warna antara putih dan keemasan atau biru dan hitam. - Google


Apakah punca warna yang dilihat berbeza dengan orang lain?



Mengenai teori dominan otak kanan atau otak kiri, Dr Latif berkata terdapat kajian yang menyatakan ia hanyalah satu mitos.

"Secara mudahnya teori ini masih lagi tidak dibuktikan benar. Bahkan sudah ada kajian yang menunjukkan perkara ini adalah mitos semata-mata," katanya.

Beliau memetik kajian pada tahun 2013 yang dijalankan oleh Nielsen dan kumpulannya yang menunjukkan bahawa tiada penemuan atau perbezaan dalam imej saraf dan otak bagi 1011 individu yang dikaji.

Ini bermakna imej otak mereka yang dikatakan mempunyai otak kanan yang dominan adalah sama seperti mereka yang mempunyai otak kiri yang dominan.

"Tetapi masyarakat masih percaya akan hal ini kerana ia berkaitan dengan sifat atau karakter seseorang dan kita sangat suka membincangkan perkara tersebut.

"Sebagai contoh Horoscope yang dikatakan tarikh lahir akan menjadikan karakter seseorang itu sama seperti yang mereka ramalkan," katanya.

Kesimpulan

Justeru, beliau menyimpulkan bahawa perbezaan warna yang dilihat adalah disebabkan kemampuan otak yang tidak boleh dikawal dengan sendirinya. Ia bersandarkan pengalaman sebelum ini.

"Perbezaan ini pula tiada kena mengena dengan bahagian otak mana yang dominan kerana ia hanya mitos semata-mata," katanya.

Sumber : The diagnosa , Twitter wondeukist

No comments

Powered by Blogger.
a