Header Ads

Wanita Bersanding Seorang Diri Jadi Viral, Mahu Sanding Juga Buat Kali Ketiga Dengan Abang Bomba


Wanita yang bersanding tanpa suami selepas pasangan hidupnya ditawarkan menjalani latihan sebagai anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada Mac lalu sehingga kisah itu menjadi tular, mahu mengadakan majlis persandingan ketiga.

Badriyah Amirullah, 26, dari Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru, berkata suaminya, Mohamad Syaiful Izwan Mohamad Shah, 26, bersetuju mengadakan majlis persandingan ketiga dan kenduri menyambut menantu sebaik bercuti selepas melaporkan diri di lokasi bertugas bulan depan.

“Kami bercadang mengadakan persandingan ketiga dan majlis kenduri di kampung halaman suami di Teluk Intan, Perak,” katanya ketika ditemui pada Majlis Tamat Latihan Kursus Sijil Sains Kebombaan Siri 1/2018 di Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Timur, Wakaf Tapai di Marang, hari ini.

Kisah Badriyah menjadi tular di laman sosial selepas dia terpaksa bersanding seorang diri pada kenduri menyambut menantu di Teluk Intan, 17 Mac lalu, selepas bernikah dengan Mohamad Syaiful Izwan pada 18 November tahun lalu.

Kenduri di rumah Badriyah diadakan pada hari sama di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru, pada 18 November tahun lalu, manakala majlis sambut menantu dan persandingan di kediaman Mohamad Syaiful Izwan ditetapkan pada 17 Mac lalu.

Badriyah berkata, suaminya mendapat tawaran itu dan melapor diri untuk menjalani latihan sebagai anggota JBPM di Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Timur Wakaf Tapai, awal Disember lalu.



Katanya, mengikut perancangan awal, suaminya akan bercuti selama tiga hari untuk majlis persandingan itu dan akan kembali bertugas pada 19 Mac lalu, namun berlaku salah faham menyebabkan Mohamad Syaiful Izwan tidak dapat bercuti.

“Malu dan terkilan juga kerana terpaksa bersanding dengan berpakaian lengkap pengantin bersendirian, tetapi majlis sudah dirancang dan tetamu sudah diundang. Mahu tidak mahu terpaksa juga sanding sendirian.

Badriyah berkata, dia menganggap perkara itu sebagai ujian awal sebagai isteri anggota bomba dan persediaan untuknya melalui pelbagai cabaran lagi termasuk terpaksa berjauhan kerana dia bekerja di Johor Bharu, manakala Mohamad Syaiful Izwan mungkin bertugas di Selangor atau Perak.

Sementara itu, Mohamad Syaiful Izwan berkata, kejadian isterinya terpaksa bersanding sendirian berlaku disebabkan salah faham mengenai cuti pelepasan.

Katanya, semua pelatih tidak dibenarkan bercuti termasuk cuti perkahwinan, melainkan cuti kecemasan jika kedua ibu bapa meninggal dunia.


“Apa pun kami memang bercadang mahu adakan majlis persandingan sekali lagi di Teluk Intan, tetapi hanya merancang majlis ringkas membabitkan keluarga dan jiran terdekat.

“Tarikh majlis pula akan ditetapkan selepas permohonan cuti diluluskan. Cuti hanya boleh dipohon selepas JBPM menetapkan negeri dan balai bertugas awal September depan,” katanya.

Sumber : Harian Metro.
-www,kakishare.tv
FACEBOOK KIM SKIN

No comments

Powered by Blogger.
a