Header Ads

'Keretaku Rumahku' - Sebak! Lelaki Ini Dedah Punca Kenapa Terpaksa Jadi Kereta Sebagai Tempat Tidur


TIDAK mampu melunaskan bayaran tunggakan sewa rumah menyebabkan enam sekeluarga terpaksa menjadikan kereta sebagai tempat tidur berikutan berdepan dengan masalah kewangan yang kritikal.

Keadaan itu berlaku selepas pihak pengurusan di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang diduduki mereka sekeluarga di Bagan Jermal, dekat sini menyita kediaman berkenaan sejak dua minggu lalu.

Ia sekali gus menjadikan mereka sekeluarga buntu mencari tempat berteduh dan kini terpaksa merempat dengan tidur di kawasan-kawasan rehat dan surau.

Mohd Nasir Mohd Shariff, 48, berkata dia yang bekerja sebagai mekanik mempunyai pendapatan tidak menentu lalu menyebabkan gagal membayar sewa rumah terbabit yang mencecah RM7,000 sejak empat tahun lalu.

“Sebelum ini, saya tidak mempunyai masalah untuk membayar sewa bulanan sekitar RM124 sebulan tetapi ekoran pendapatan melalui hasil membaik pulih kenderaan yang tidak seperti dahulu menyebabkan kewangan saya tidak stabil.

“Apatah lagi saya perlu menyara isteri dan empat anak berusia lima bulan hingga sembilan tahun serta menghantar sedikit wang kepada ibu di kampung yang sedang menyara anak-anak saya yang lain dengan bekas isteri pertama,” katanya ketika ditemui, di Butterworth, hari ini.

Jelasnya, dia mengakui kesalahannya yang tidak membayar sewa hingga berlaku tunggakan dengan jumlah besar tetapi tetap berusaha untuk membayar mengikut kemampuannya.

“Notis mengenai sitaan rumah ini sudah diberikan kepada saya dalam tempoh lima ke enam bulan lalu sehingga pihak pengurusan bertindak mengunci pintu rumah dua minggu lalu.

“Saya cuba masuk juga ke dalam rumah itu tetapi datang tiga anggota polis meminta mengosongkan kediaman itu kerana boleh didakwa menceroboh lalu menyebabkan saya berbincang dengan pihak pengurusan untuk membayar tunggakan mengikut kemampuan yang ada,” katanya.

Mohd Nasir berkata, ketika itu dia hanya mampu melunaskan bayaran sekitar lebih RM1,000 tetapi pihak pengurusan meminta dia menjelaskan bayaran separuh dari jumlah tunggakan.

“Disebabkan tidak mampu, saya, isteri dan anak-anak terpaksa bermalam di mana-mana kawasan antaranya surau dan kawasan rehat dengan tidur di dalam kereta sementara mencari rumah lain.

“Saya tahu keadaan ini menimbulkan ketidakselesaan apatah lagi ada bayi dan anak-anak yang masih kecil tetapi tidak tahu nak buat macam mana,” katanya.

Katanya, setiap bulan dia memperoleh bantuan RM350 daripada pihak Zakat Pulau Pinang (ZPP) dan kini mengusulkan bantuan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berhubung masalah yang dihadapinya.

“Dari segi makan minum, syukur wang yang diperoleh hasil membaiki kenderaan cukup untuk kami enam beranak tetapi sekarang saya begitu berharap masalah berkaitan rumah ini mendapat perhatian pihak berkaitan.

“Tolonglah demi anak-anak saya yang masih kecil. Saya bukan orang senang dan jika tidak mana mungkin saya akan menyewa di rumah PPRT,” katanya.

Sumber : Harian Metro.

JANGAN LUPA LIKE DAN SUBSCRIBE CHANNEL YOUTUBE KAKI SHARE



No comments

Powered by Blogger.
a