Header Ads

'Selama Setahun Tiga Bulan Menjalani Tahanan,Saya Tidak Pernah Bertemu' - Debaran Pengantin Perempuan


“SYUKUR pada Allah, saya tak sabar menunggu ketibaannya kerana saya sangat merinduinya," kata Farizon Engah, 42, selepas dimaklumkan suaminya akan dibebaskan esok selepas tamat menjalani hukuman penjara di Tanjung Pinang, Indonesia.

Suami wanita itu, Kamaruzaman Awi, 46, tekong bot yang berasal dari Kampung Baru Kuala Abang dekat Dungun, dihukum penjara selama lima bulan selepas didakwa atas kesalahan menceroboh perairan Indonesia.

Selain Kamaruzaman, tiga lagi awak-awak iaitu adiknya, Roslin Awi, 40: sepupunya, Mohammad Zamri A Rahman dan rakannya Ariffin Kasim, 58, ditahan pada 16 April 2017.Kesemua mereka ditahan di Pusat Tahanan di Tarempa, Kepulauan Riau.

Bagaimanapun, tiga awaknya itu dibebaskan selepas enam bulan ditahan di situ, sementara Kamaruzaman didakwa di mahkamah dan menjalani hukuman penjara selama lima bulan.

Farizon berkata, dia berkahwin dengan Kamaruzaman pada 1 April 2017 dan selepas 14 hari, suaminya itu ke laut sebelum ditahan pihak berkuasa Indonesia.

"Selama setahun tiga bulan menjalani tahanan, saya tidak pernah bertemu dengannya dan hanya beberapa kali dapat berhubung dengannya," katanya.

Katanya, setiap malam, dia tidak putus berdoa meminta dengan Allah supaya suaminya dibebaskan dengan segera.


"Saya mendapat panggilan daripada Pegawai Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Dungun, hari ini yang memaklumkan suami akan dibebaskan esok.

“Saya menangis kegembiraan dan sujud syukur sebaik menerima berita gembira itu. Demi Allah saya amat merinduinya,” katanya.

Bagaimanapun, Farizon berkata, dia sedih kerana tidak dapat menyambut kepulangan suaminya yang dijangka tiba di Johor kerana ketiadaan kenderaan dan wang belanja.

"Saya kini tiada wang kerana semua duit simpanan abis membiayai kos makan sepanjang suami dalam tahanan," katanya.


Dia berterima kasih kepada semua pihak termasuk kerajaan Malaysia, LKIM Dungun, Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT),Persatuan Nelayan Kawasan Dungun yang berusaha membantu suaminya.

"Saya akan sambut kepulangan suami di Kampung Kuala Abang, Sabtu ini," katanya.

Sumber : Harian Metro.
FACEBOOK KIM SKIN

No comments

Powered by Blogger.
a