Header Ads

Datuk Lee Chong Wei tidak mahu 'gantung raket' lagi dan masih menjalani rawatan susulan


Foto Kredit : http://www.utusan.com.my

Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mengumumkan dia akan kembali beraksi selepas disahkan bebas kanser.
Perkara tersebut diumumkan oleh Chong Wei dalam satu sidang akhbar khas di Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara.
Kata Chong Wei, dia masih boleh beraksi namun perlu mendapatkan nasihat doktor perubatan.
“Bagi saya ini adalah berkaitan masalah berkaitan kesihatan bukannya masalah kecederaan dan ia bukan penghalang untuk saya kembali ke gelanggang.
“Sepanjang saya mendapatkan rawatan banyak pihak yang memberikan sokongan moral kepada saya dan disebabkan saya amat sayangkan sukan ini maka saya perlu kembali beraksi,” kata Chong Wei

Datuk Lee Chong Wei mendedahkan dia mena­ngis selama seminggu selepas disahkan menghidap kanser hidung peringkat awal selain terpaksa melalui detik sukar semasa menjalani sesi rawatan di Taiwan selama hampir tiga bulan.
Pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu memberitahu, pada mulanya dia seperti tidak boleh menerima hakikat bahawa dia menghidap penyakit yang bukan sahaja mampu menamatkan kariernya malah memberi ancaman kepada nyawa.
Selepas kembali daripada Terbuka Indonesia, dia merasakan sesuatu yang tidak kena dengan dirinya dan segera me­lakukan pemeriksaan kesihatan di dua hospital pakar di ibu negara dan dinasihatkan untuk ke Taiwan bagi mendapatkan pandangan kedua serta rawatan.
“Selepas dapat tahu saya ada kanser, saya menangis selama seminggu, saya tidak lalu makan dan seperti hilang arah dalam kehidupan,” katanya dalam sidang akhbar khas di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, di sini hari ini.
Ini kali pertama Chong Wei keluar ke khalayak ramai sejak kembali dari Taiwan untuk menjalani rawatan.
Chong Wei memberitahu le­langit mulutnya pecah, tekak serta leher rasa terbakar dan sukar untuk menelan makanan semasa menjalani rawatan terapi proton di Taiwan namun dia menguatkan semangat bagi me­lawan penyakit yang dihidapinya.
Jaguh badminton berusia 36 tahun itu berkata, dia menjalani 33 sesi rawatan terapi proton dan dia menangis ketika menjalani setiap sesi selain apabila tiba waktu makan kerana dia akan kesakitan setiap kali mahu menelan makanan tetapi hanya dengan makanan sahaja dia mampu melawan kanser yang dihidapinya ketika itu.
Dia memberitahu, rawatan yang dilakukannya itu membuatkan leher dan sebahagian dada serta belakangnya bertukar menjadi warna hitam se­perti kesan terbakar selain berasa panas.
“Memang detik yang sukar... kalau boleh saya tidak mahu ingat lagi perkara itu. Sepanjang rawatan saya rasa seperti terbakar di bahagian leher dan membuatkannya bertukar kepada warna hitam.
“Doktor nasihatkan saya untuk lawan penyakit ini tetapi selepas tiga minggu, mulut saya pecah kerana kesan rawatan dan saya hanya mampu minum susu sahaja tetapi susah untuk telan kerana terasa sakit. Ketika itu, setiap kali mahu makan, saya akan menangis.
“Doktor kata, saya perlu makan, kalau tidak makan saya tidak boleh buat rawatan. Perkara ini memang saya mahu lupakan tetapi tuhan sudah pilih saya untuk lalui perkara ini dan saya terima,” katanya, yang turut menasihatkan pesakit kanser agar cekal melawan penyakit ber­kenaan dan menjalani rawatan.
Ternyata semua rakyat Malaysia juga merindukan Datuk Lee Chong Wei untuk beraksi semula di gelanggang. Semoga beliau cepat sembuh dan cekal menghadapi rawatan susulan.

Sumber : Utusan Online 







No comments

Powered by Blogger.
a