Header Ads

Isu Pemecatan Waytha Moorthy : 'Rakyat bebas meluahkan tapi keputusan di tangan saya' - Tun M


Perdana Menteri belum membuat sebarang keputusan mengenai nasib Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy walaupun terus mendapat desakan memecatnya daripada rakyat dan ahli parti sendiri.

Rakyat bebas meluahkan tapi terpulang kepada saya untuk putuskan
Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, rakyat boleh meluahkan sebarang pandangan, namun keputusan mutlak berada di tangannya.
“Rakyat boleh luahkan pendapat tapi ia terpulang kepada saya untuk putuskan.
“Saya belum putuskan lagi (tindakan terhadap Waytha Moorty),” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan buku bertajuk Malaysia: A New Chapter sempena Inaugural The Dr Mahathir Mohamad Leadership Series di Kuala Lumpur, malam tadi.
Ditanya adakah beliau berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan Waytha Moorty, Dr Mahathir berkata: “Saya okay dengan prestasi kerja beliau.”

Waytha Moorthy adalah menteri bertanggungjawab bagi Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial.
Sebuah portal berita dalam talian hari ini melaporkan Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) telah menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri bagi menggesa pengguguran Waytha Moorthy sebagai menteri.
Laporan yang memetik sumber dalaman parti menyebut memorandum itu diserahkan di pejabat Dr Mahathir yang juga Pengerusi BERSATU.

Sebab menggesa pemecatan Waytha Moorthy
Antara sebab dinyatakan mereka bagi menggesa pemecatan Waytha Moorthy adalah beliau selaku menteri bertanggungjawab terhadap soal perpaduan dilihat gagal meredakan ketegangan kaum dalam isu Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, bulan lalu.
Awal hari ini, laporan media melaporkan sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah menyerahkan memorandum kepada Dr Mahathir, yang juga pengerusinya, mendesak supaya Waytha Moorthy disingkirkan sebagai menteri. 

Dalam isu lain, Dr Mahathir memberi jaminan bahawa mereka yang keluar UMNO tidak akan mengambil alih Bersatu.

Katanya bekas ahli UMNO tersebut hanya boleh berada pada jawatan mereka sehingga pemilihan (parti) yang akan datang.

“Tidak boleh, mereka semua boleh memegang jawatan sehingga pemilihan yang akan datang,” katanya.

PH gandakan usaha sempurnakan manifesto
Terdahulu, ketika menyampaikan ucaptamanya, Dr Mahathir berkata, Kerajaan Pakatan Harapan akan menggandakan usaha mereka dalam menyempurnakan janji-janji yang dibuat terutamanya berkaitan janji pilihan raya.

Katanya, apabila sebuah kerajaan mengalami ketidakpercayaan, ia akan ditolak dan rakyat akhirnya akan melakukan apa sahaja untuk menyingkirkannya.

"Adalah amat penting sekali bagi kerajaan dipercayai rakyat dan memenuhi janji-janjinya.

"Bila adanya kegagalan mendapatkan kepercayaan rakyat, kerajaan yang paling kuat sekalipun akan tumbang. Dan kerajaan sekarang amat menyedari hal ini, memang janji-janji telah dibuat sebelum kita mendapat kuasa,” kata beliau.

Beliau berkata Pakatan Harapan, ketika itu, masih sebagai pembangkang, membuat janji dengan jangkaan mereka akan kalah.

"Janji-janji itu adalah untuk kerajaan yang berkuasa, jadi jika mereka menang mereka akan mendapati janji itu sukar untuk dipenuhi.

"Nasib baik atau tidak bernasib baik kami menang dan kini kami perlu menggandakan usaha kami untuk memenuhinya. Tentu sekali kadang kala janji itu sukar untuk dipenuhi tetapi sama ada sukar atau tidak seseorang itu mestilah menunjukkan ia cuba melakukan yang terbaik untuk memenuhinya.

“Sesebuah kerajaan hanya boleh terus diberi kuasa jika ia boleh dipercayai, kita mesti penuhi apa yang telah kita janjikan,” kata beliau.
Sumber : metro, bernama 

No comments

Powered by Blogger.
a