Header Ads

Kontroversi : KJ, Nurul Izzah, Rafizi bentuk parti orang muda?

Gandingan tiga pemimpin muda, Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin, Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar dan Rafizi Ramli, sekali lagi dilihat bertemu untuk makan tengah hari bersama dan dipercayai sedang menggerakkan satu wadah politik baharu berteraskan orang muda.

Menerusi sebuah foto yang dimuat naik di Instagram Story pada Selasa, Khairy memuatnaik foto mereka bertiga dengan kapsyen, “That’s how filters work@rafiziramli.” (Beginilah cara ‘filter’ berfungsi, Rafizi).

Gambar tersebut dipercayai diambil di restoran Alexis, di Bangsar Shopping Centre.

Pertemuan mereka bertiga sebelum ini.

Bekas ketua Pemuda UMNO itu merujuk kepada posting Rafizi di Twitter sebelum ini pada 10 Disember lalu mereka bertiga bertemu dan memuatnaik gambar tiga sahabat itu tanpa di 'edit'.

Ia selepas tiga ikon orang muda ini dilihat semakin akrab berkongsi pandangan menerusi pertemuan, serta komen balas sesama mereka di media sosial sehingga menarik perhatian ramai.

Spekulasi lebih kuat apabila Nurul Izzah membuat keputusan mengejut meletakkan jawatan Naib Presiden PKR kelmari manakala Khairy Jamaluddin semakin terbuka mengkritik kepemimpinan tertinggi UMNO.

Rafizi yang tewas dalam perebutan Timbalan Presiden PKR, baru-baru ini semakin mendekati pengundi muda, khususnya menerusi platform INVOKE yang diterajuinya.

Bekas Pengarah Biro Pilihan Raya AMANAH Selangor, Jaafar Samsuddin, tidak menolak kemungkinan itu berkata, kerjasama mereka boleh jadi hanya satu gerakan atau bernaung di bawah sebuah parti politik baharu, berteras pengundi dan sokongan orang muda.

Gabungan tiga pemimpin


Beliau berkata, desas-desus kemungkinan gabungan tiga pemimpin itu pernah didengarnya kebelakangan ini dari kalangan orang politik, namun sama ada ia menjadi realiti atau tidak, hanya mereka sahaja yang tahu.

“Sejujurnya, saya menyokong jika tiga pemimpin muda ini menggerakkan satu wadah politik baharu. Mungkin fokusnya hanya untuk orang muda.

“Ketiga-tiga mereka memiliki pengaruh serta pengikutnya sendiri di media sosial, terutama dari kalangan anak muda. Sudah pasti kerjasama di antara mereka boleh mendatangkan hasil (dapat sokongan) dari orang muda,” katanya.

Beliau berkata, biarpun berlainan parti, Khairy Jamaluddin yang juga Ahli Parlimen Rembau dan pernah menganggotai Kabinet semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN), Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh dan Rafizi bekas Ahli Parlimen Pandan, mempunyai keupayaan untuk bekerjasama dalam satu pasukan bagi membawa mesej Malaysia baharu.

“Saya tidak nampak mereka ada masalah besar membawa mesej politik masa depan. Perbezaan politik bukan halangannya, kerana dalam politik hari ini pemikiran masyarakat sudah berubah.

“Rakyat hari ini mahu masalah mereka diberi perhatian. Bukan kemelut keluar masuk parti, janji manifesto tidak dipatuhi serta isu pendakwaan pemimpin semata-mata.

“Ini mungkin perkara yang diambil perhatian tiga pemimpin muda ini,” katanya.

Jaafar yang sebelum ini berjuang atas parti UMNO dan Semangat 46 serta menyertai PAS, sebelum akhirnya menyokong AMANAH berkata, mendepani Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15, ketiga-tiga mereka memang mempunyai tempat untuk melebarkan pengaruhnya.


“Pengundi muda semakin ramai. Sudah pasti ini kelebihan buat Khairy Jamaluddin, Nurul Izzah dan Rafizi untuk mendapatkan sokongan,” katanya.

Foto Kredit : bharian.com

Dalam gambar tersebut, Rafizi berkata meskipun mereka daripada parti politik yang berbeza, mereka memiliki aspirasi yang sama.


“Kami berkongsi aspirasi yang sama, iaitu untuk melihat Malaysia yang mampu menjana kekuatan dari perbezaan yang kita ada, memahami penuh serta menghormati perbezaan tersebut,” katanya.

Khairy bagaimanapun membalas posting tersebut dengan berseloroh, meminta Rafizi mempelajari cara untuk ‘filter’ (menyunting) foto itu terlebih dahulu sebelum memuatnaiknya.

Rafizi kemudian membalas pula dengan berkata, “Saya tidak akan memuatnaik gambar sebelum mahir menggunakan ‘filter’ terlebih dahulu.”

Pada 17 Disember lalu, Nurul Izzah berterima kasih kepada Rafizi dan Khairy di atas sokongan mereka susulan peletakan jawatannya sebagai Naib Presiden PKR.

Sumber : bharian, awani


No comments

Powered by Blogger.
a