Indonesia mempunyai pasaran aviasi antara paling pesat berkembang di dunia tetapi mengundang kritikan baharu sejak nahas maut sebuah pesawat Lion Air pada bulan lalu yang berlaku ketika sektor tersebut bergelut untuk mena­ngani pertumbuhan pesat tersebut, mengakibatkan aspek kese­lamatan terabai, kata beberapa pe­nganalisis.
“Pertumbuhan pesat dalam permintaan dan operasi me­nyaksikan lebih banyak kemalangan yang sepatutnya boleh dielak berlaku,” kata pakar avia­si daripada Universiti Leeds, Stephen Wright.
Pada Rabu lepas, pasukan penyiasat mengeluarkan laporan awal menyatakan bahawa penerbangan JT610 tersebut mengalami masalah teknikal yang gagal dibaiki oleh Lion AIr sebelum penerbangan ter­akhirnya.
Kesemua 189 penumpang dan kru terbunuh apabila pesawat baharu jenis Boeing 737 MAX itu menjunam ke Laut Jawa tidak lama selepas berlepas.
Meskipun Pasukan penyiasat tidak menyalahkan Lion Air secara langsung atau mengenal pasti punca nahas pada 29 Oktober lalu itu, mereka berkata, syarikat penerbangan tambang murah tersebut perlu mengambil langkah perlu untuk menambah baik budaya keselamatannya.
Walaupun mempunyai rekod keselamatan yang lemah dan banyak aduan diterima me­ngenai perkhidmatannya, induk syarikat penerbangan berke­naan, Lion Air Group telah mendominasi separuh daripada pasaran domestik kurang 20 tahun selepas beroperasi.
Dalam pada itu, rekod kese­lamatan Indonesia juga bertambah baik, kata sebilangan penganalisis sejak syarikat-sya­rikat penerbangannya termasuk Garuda dilarang memasuki ruang udara Amerika Syarikat dan Eropah selama beberapa tahun kerana me­langgar aspek keselamatan.
Bagaimanapun, negara itu merekodkan sebanyak 40 nahas udara maut sejak 15 tahun lalu. – AFP
Sumber : Kosmo