Header Ads

TIPS 12 'M' UNTUK YANG NAK BERHENTI MEROKOK. MESTI CUBA!



NAK BERHENTI MEROKOK? ATAU INGIN YANG TERSAYANG BERHENTI MEROKOK ?

Merokok kekal sebagai antara salah satu budaya hidup yang tidak menyihatkan. Malahan, bilangan perokok di seluruh dunia dan di Malaysia menunjukkan pola meningkat saban tahun. Lebih menyedihkan, kini semakin ramai golongan remaja dan perokok wanita terjebak dalam kegiatan yang merugikan ini.

Umum pasti mengetahui bahawa merokok merupakan faktor risiko bagi kebanyakan penyakit kronik. Merokok memberikan kesan mudarat kepada hampir setiap tisu dan organ badan. Risiko mendapat penyakit serius seperti kanser peparu, penyakit jantung, strok dan hampir 40 jenis penyakit lain meningkat 10 kali ganda dengan tabiat merokok. Statistik daripada Kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan 2010 pula merekodkan tabiat merokok telah menyebabkan kematian kira-kira 18,000 orang setahun.





Kebaikan berhenti merokok

Fakta dan statistik ini seharusnya dijadikan alasan utama untuk perokok berhenti daripada meneruskan tabiat ini. Banyak kebaikan yang dapat diperoleh sekiranya berjaya membebaskan diri daripada belenggu rokok. Risiko untuk penyakit koronari, strok dan beberapa jenis kanser akan berkurang selepas kekal bebas daripada nikotin untuk satu tempoh masa tertentu (setahun hingga lima tahun).
Berhenti daripada merokok juga bermaksud memberi keselesaan kepada orang di sekeliling serta menjauhkan mereka daripada bahaya asap rokok basi (secondhand smokers). Dari aspek ekonomi, berhenti merokok membolehkan seseorang menjimatkan ratusan hingga ribuan ringgit sebulan. Wang yang dijimatkan ini sudah tentu boleh dibelanjakan untuk sesuatu yang lebih baik.

Jangan berlengah membuat keputusan untuk berhenti merokok.





Seseorang yang hendak berhenti merokok akan melalui 4 fasa dan perlu melakukan beberapa tindakan seperti berikut:





Fasa 1: Berfikir untuk berhenti merokok                                                                                                           
Buat keputusan tegas bahawa anda benar-benar hendak meninggalkan tabiat merokok. Kuatkan tekad dan berjanjilah kepada diri sendiri yang anda bersungguh-sungguh akan berhenti merokok. Kenalpasti sebab-sebab utama mengapa anda hendak berhenti merokok. Tuliskan senarai sebab-sebab ini dan letakkan senarai tersebut di tempat yang mudah anda semak setiap kali anda merasa ingin merokok.




Fasa 2: Persediaan untuk berhenti merokok. 

Setelah memutuskan untuk berhenti, anda perlu membuat beberapa persediaan bagi memudahkan anda melaksanakan usaha dengan jayanya. Guna pendekatan CUKUP.

CCari tarikh sesuai untuk berhenti merokok. Tarikh dan masa yang dipilih hendaklah dalam tempoh 2 minggu dari ketika anda mula meletakkan hasrat untuk berhenti. Jangan ambil masa terlalu lama kerana dibimbangi motivasi anda akan kian luntur.

UUmumkan kepada anggota keluarga, kawan-kawan dan rakan sekerja anda tentang hasrat anda untuk berhenti merokok. Dapatkan sokongan dan bantuan mereka, dengan demikian usaha anda menempoh proses berhenti merokok akan turut dikongsi oleh orang yang hampir dengan anda.

KKenalpasti cabaran-cabaran yang bakal anda hadapi dan buat perancangan untuk mengatasi setiap cabaran itu. Ketahuilah bahawa bulan pertama adalah tempoh yang paling mencabar. Ramai perokok yang cuba berhenti kembali merokok semula dalam tempoh 3 bulan kerana gagal mengatasi tekanan dan rasa gian. Rangkakan kaedah tentang bagaimana anda patut menentang keinginan untuk merokok.

UUrus dan bersihkan persekitaran anda (di rumah, kereta dan tempat kerja) dari semua bahan dan peralatan yang ada hubungkait dengan tabiat merokok seperti rokok, pemetik api, bekas habuk rokok. Perkara-perkara ini boleh mengingat dan mendorang anda untuk merokok.

PPerbincangkan tentang kaedah terbaik untuk berhenti merokok dengan doktor atau anggota kesihatan. Walaupun ramai bekas perokok telah berhenti tanpa menggunakan rawatan ubat, namun ia tetap merupakan satu pilihan yang boleh membantu anda. Anda juga boleh hubungi talian berhenti merokok Kementerian Kesihatan (03-88834400) untuk mendapatkan maklumat berhenti merokok.


Fasa 3: Berhenti merokok

Tiba hari yang ditetapkan untuk anda berhenti merokok, sekali lagi ingatkan keluarga dan rakan-rakan anda bahawa anda mula berhenti merokok pada hari ini. Jangan malu untuk minta sokongan dan bantuan mereka agar anda berjaya berhenti merokok.

Jika anda menggunakan ubat, teruskan rawatan menurut cara pengambilan yang telah ditetapkan. Ikut nasihat doktor atau anggota kesihatan yang memberi rawatan itu kepada anda. Sibukkan diri dengan melakukan hal-hal berfaedah. Penuhi masa terluang anda di tempat-tempat yang diwartakan sebagai kawasan larangan merokok. Sekiranya anda inginkan sesuatu dicelah jari atau bibir anda, gantikannya dengan memegang benda selain rokok, seperti pensel atau lobak merah (carrot stick).



Anda dicadangkan mengamal kaedah 
12 ‘M’ untuk mengatasi rasa gian


M1 : Melengah-legahkan tindakbalas ke atas keinginan merokok seperti melambatkan masa mencari rokok atau menyalakan rokok

M2 : Menarik nafas panjang – tiga kali secara perlahan-lahan sekiranya datang keinginan untuk merokok

M3 : Minum air kosong dengan banyak dan jangan sekali-kali minum air berkafein seperti kopi atau teh kerana ia akan meningkatkan keinginan untuk merokok

M4 : Membuat sesuatu – seperti aktiviti lain yang boleh mengalih perhatian anda daripada berfikir hendak merokok

M5 : Mengunyah sesuatu – seperti gum, lobak merah, buah-buahan dsb. Elakkan benda manis seperti gula-gula

M6 : Mandi – seberapa kerap apabila didatangi keinginan merokok

M7 : Membasuh tangan – seberapa kerap apabila didatangi keinginan merokok

M8 : Melakukan senaman regangan – sekiranya anda mengantuk kerana tidak merokok

M9 : Memohon doa/ Meditasi – untuk kuatkan azam dan usaha agar berjaya berhenti merokok

M10 :Menjauhkan diri – daripada perokok atau kawan-kawan yang kerap merokok

M11 :Mengelakkan diri – daripada rasa bosan atau situasi yang mendorong kepada merokok

M12 :Menginsafi – dan merujuk kembali sebab mengapa anda hendak berhenti merokok



Ketahui tentang kebaikkan berhenti merokok. Proses pemulihan tubuh bermula dalam tempoh 20 minit selepas anda menghisap rokok anda yang terakhir.



No comments

Powered by Blogger.
a