Header Ads

Bapa simbah air panas pada badan anak hingga melecur, hanya kerana makanan


Gara-gara menghabiskan makanan, si anak yang berusia lapan tahun disimbah air panas oleh bapanya di Flat Kampung Melayu, Air Itam. Apa yang terkilannya adalah bukanlah si anak mencuri wang menjadi penyebab si bapa begitu marah pada anaknya.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang, berkata berdasarkan siasatan polis, bapa kanak-kanak terbabit naik angin selepas mendapati makanan di rumah dihabiskan oleh empat anaknya yang berusia tiga hingga sembilan tahun.
“Kejadian mangsa dikatakan mencuri wang ibunya sebanyak RM10 merupakan kejadian lama dan bukan punca sebenar suspek bertindak menyimbah air panas kepada mangsa sehingga melecur tiga peratus di lengan, rusuk dan dada kanan,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira 1 pagi itu, suspek berusia 41 tahun yang bekerja sebagai ejen jualan kad prabayar baru pulang daripada bekerja dan dalam keadaan lapar namun mendapati makanan yang disediakan isterinya yang berumur 38 tahun telah dihabiskan oleh anak-anaknya.
“Dia yang naik angin dan berang kerana lapar bertindak mengejutkan anak-anaknya yang sedang tidur di ruang tamu dan memarahi serta memukul mereka. Suspek juga telah bertindak menyimbah semangkuk air panas yang diambil daripada mesin penapis air minuman di ruang tamu ke arah mangsa,” katanya.
Che Zaimani berkata, tindakan lelaki itu disaksikan oleh isterinya namun wanita tersebut bukan setakat melihat dan tidak menghalang perbuatan suspek tetapi turut sama memarahi mangsa yang merupakan anak perempuan tunggal mereka.
Katanya, selepas kejadian itu, pasangan suami isteri terbabit melarikan diri bersama anak bongsu mereka kerana bimbang ditahan polis.
“Anak sulung serta anak ketiga suspek kini berada bawah jagaan nenek mereka iaitu ibu kepada isteri suspek yang tinggal di flat sama. Polis kini giat mengesan suspek yang melarikan diri dengan menaiki kereta jenis Proton Saga warna putih dengan nombor pendaftaran PCK 9818,” katanya.
Sumber : BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.
a