Header Ads

Perang Dunia Ketiga dan Keempat Yang Amat Menakutkan Bakal Tercetus?



Perang Dunia Kedua menyaksikan penggunaan senjata pemusnah bom atom yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat ke atas dua bandar di Jepun, iaitu Hiroshima dan Nagasaki.
Walaupun teknologi pada zaman itu masih belum canggih, namun senjata yang dihasilkan tetap berupaya menyebabkan kemusnahan yang besar dengan meragut ratusan ribu nyawa dalam sekelip mata.
Persoalannya, apa akan berlaku pada dunia sekiranya sebuah lagi Perang Dunia tercetus? Lebih membimbangkan, pelbagai jenis senjata, termasuk nuklear pada era ini jauh lebih canggih dan berkuasa berbanding zaman dahulu.
Einstein meramalkan bahawa Perang Dunia Ketiga akan dicetuskan dengan senjata nuklear yang mampu memusnahkan tamadun.
Malah, kuasa-kuasa dunia pada masa kini juga sedang bertungkus lumus bersaing untuk mencipta senjata yang paling canggih dan berkuasa.
Bagi Perang Dunia Keempat pula, Einstein meramalkan bahawa manusia akan berperang dengan menggunakan senjata-senjata pada zaman batu.
Dalam pada itu, Datuk Akhbar Satar, Pengarah Institusi Jenayah dan Kriminologi, Help University, menerusi penulisannya di The Star, menyatakan bahawa kerajaan AS juga telah melancarkan peledak nuklear 1.4 megaton pada ketinggian 399km di atas Johnston Atoll yang terletak di barat daya Hawaii dalam sebuah operasi bergelar “Starfish Prime”.
Namun, tiada sesiapa yang menjangka ujian tersebut turut memberi impak terhadap kepulauan Hawaii walaupun jaraknya adalah 1,400km jauh dari lokasi ujian.
Menurut Akhbar, Dr Peter Vincent Pry, pengarah eksekutif Jawatankuasa National and Homeland Security di AS berkata, Korea Utara (secara rahsia) mungkin sedang membangunkan teknologi untuk meletupkan senjata nuklear altitud tinggi di angkasa lepas.
Difahamkan, negara tersebut mempunyai dua satelit pemantau yang dilancarkan di ruang angkasa pada tahun 2012 dan 2016.
Lebih membimbangkan lagi, alat peranti yang digunakan pada masa kini adalah berdasarkan komputer dan elektronik, dan gaya hidup orang ramai kini bergantung pada elektrik dan teknologi elektrik.
Sekiranya berlaku serangan yang menggunakan senjata Electromagnetic Pulse (EMP), ia ternyata akan menyebabkan ‘malapetaka’ yang besar.
Berdasarkan laporan Perkhidmatan Penyelidikan Kongres AS, serangan EMP nuklear boleh menyebabkan kerosakan luar biasa terhadap rangkaian tenaga dan kewangan, kerana bekalan elektrik akan terputus.
Ia boleh memusnahkan seluruh grid elektrik, dan kejadian itu akan menjejaskan sistem pengangkutan, industri dan perkilangan, navigasi satelit, telekomunikasi, perbankan dan kewangan, serta infrastruktur sistem makanan dan air.
Walaupun tenaga elektrik boleh dipulihkan, ia akan memakan masa berbulan-bulan.
Oleh itu, manusia tidak akan dapat menjalankan aktiviti harian seperti biasa dan akan hidup dalam ‘kegelapan’ yang berpanjangan.
Bukan itu sahaja, malah sekiranya hospital terjejas akibat serangan EMP, jutaan nyawa akan terkorban.
Senario-senario di atas tidak mustahil untuk berlaku kerana teknologinya sudah wujud pada zaman ini.
Jadi, cara yang terbaik untuk menyelesaikan sebarang konflik/ketegangan yang sedang berlaku di antara mana-mana negara sekali pun adalah menerusi rundingan dan perbincangan, bukan peperangan.
Peperangan tidak akan mendatangkan sebarang manfaat kepada pihak yang menang mahupun kalah. Bak kata pepatah, “menang jadi arang, kalah jadi abu".

No comments

Powered by Blogger.
a