Header Ads

Abdul Bari, lima penyelamat mangsa lemas dikurnia anugerah 'Wira Darul Iman'



Kerajaan Terengganu akan memberi anugerah khas kepada pemancing, Allahyarham Abdul Bari Asyraf Mohd, 31 yang lemas semasa membantu menyelamatkan lima sekeluarga yang terperangkap dalam kenderaan pacuan empat roda yang terjunam ke dalam sungai di Pulau Warisan, Jumaat lalu.

Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata anugerah Wira Darul Iman itu juga akan diberikan kepada lima lagi individu atas jasa mereka yang turut sama menyelamatkan mangsa.

Pemberian anugerah itu diputuskan dalam Mesyuarat Mingguan Exco pada Rabu setelah mengambil kira jasa mereka terutama Allahyarham Abdul Bari Asyraf Mohd, 31, dan ia akan disampaikan dalam Majlis Himpunan Belia dan Beliawanis Terengganu yang dijadualkan di Stadium Negeri pada 22 Februari.

"Selain sijil penghargaan, kita akan beri mereka insentif kewangan sebagai tanda terima kasih rakyat dan keluarga Allahyarham akan diberikan sedikit kelebihan dari segi amaun bagi mengenang jasa.

"Kita harap apa yang dilakukan ini boleh menjadi pendorong dan galakan kepada orang ramai di luar sana untuk sama-sama membantu orang dalam kesulitan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu.

Selain Allahyarham Abdul Bari Asyraf, penerima anugerah lain ialah Mohammad Asadullah Jamaluddin, 28; Saiful Anuar Mohd, 37; Mohd Amiro Hafizol Zukafli, 29; Omar Abdul Aziz Othman, 27, dan Shahrul Mizan Harun, 34.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata kerajaan negeri juga akan meningkatkan langkah-langkah keselamatan di Pulau Warisan bagi mengelak kejadian malang seumpama itu berulang pada masa akan datang.

Katanya antara penambahbaikan yang akan dilaksanakan termasuk meletakkan papan tanda amaran keselamatan dan benteng penahan di kawasan tebing.

“Kita juga akan bina tandas awam berikutan banyak rungutan dan maklum balas daripada orang ramai yang terpaksa menumpang di kedai-kedai berhampiran (untuk menggunakan kemudahan tandas),” katanya.

(VIDEO) Ketika Allahyarham Menyelamatkan Mangsa 



(VIDEO) Mayat Abdul Bari Ditemui 


Sumber : BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.
a