Header Ads

"Free free boleh syurga" - Netizen sebak & kagum dengan usaha lelaki ini menjaga ibu


Tindakan lelaki membawa ibunya yang sudah uzur menaiki motosikal dengan meletakkan warga emas itu di bahagian hadapan, mengundang rasa sayu netizen.
Dia juga dilihat menyuapkan makanan kepada ibunya di kedai makan di Wakaf Bharu, Tumpat, sehingga tular di media sosial.
Demikian rutin Che Mohd Taufik Sulaiman, 44, yang menjaga keperluan ibunya Habshah Ngah, 83, selepas kematian bapanya beberapa tahun lalu.
Che Mohd Taufik berkata, selepas arwah bapanya meninggal dunia, dia mengajak ibunya, berhijrah ke Kelantan pada 1995 dan menetap di Pondok Al Diniah Al Yusuffiah Banggol Naim, Gelang Mas, Pasir Mas sehingga kini.

Isteri bantu urus keperluan rumah semasa ketiadaannya
"Sebelum ini, kami menetap di Pulau Duyong, Terengganu, sebelum mengambil keputusan untuk berhijrah ke pondok ini bagi menuntut ilmu agama selepas saya meminta kebenaran abang dan kakak untuk membawa ibu bersama.
"Sudah 24 tahun kami tinggal di pondok ini dan kebanyakan mereka yang mengenali saya dan ibu amat memahami keakraban kami kerana sering bersama setiap masa.
"Walaupun kami adik beradik tidak tinggal bersama, namun mereka ada bertanya khabar dan setahun sekali akan datang beraya bersama di pondok ini jika kami tidak pulang ke Terengganu.
"Selepas mendirikan rumah tangga sejak November tahun lalu, isteri banyak membantu menguruskan keperluan ibu ketika saya tiada di rumah," katanya ketika ditemui, Pasir Mas, semalam.
Anak bongsu daripada empat beradik ini berkata, selain menghidap penyakit darah tinggi, ibunya juga mempunyai masalah saraf sejak empat tahun lalu sehingga menyebabkannya hilang upaya untuk berjalan.

Dikurniakan isteri yang memahami


"Setiap kali saya keluar mengajar, isteri akan mengambil alih tugas menguruskan ibu di rumah termasuk memandikannya serta menyuapkan makanan.
"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana dikurniakan isteri yang memahami dan sanggup bersama-sama untuk menjaga ibu yang sudah uzur," katanya.
Katanya, dia dilantik menjadi tenaga pengajar di Pondok Al Diniah Al Yusuffiah sejak enam tahun lalu dan kerja yang dilakukan adalah ikhlas dari hati untuk menyumbang ilmu agama kepada anak-anak di pondok itu.

Bimbang ibu terjatuh jika membonceng di belakang


"Mujurlah ibu mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diperolehinya sebanyak RM300 selain wang zakat daripada mereka yang datang melawat dan boleh digunakan untuk membeli keperluan ibu.
"Setiap sebulan atau dua bulan sekali saya perlu membawa ibu ke Hospital Meranti, Pasir Mas untuk menjalani rawatan susulan dengan menunggang motosikal yang sudah uzur.
"Apabila membawa ibu menunggang motosikal bersama, saya meletakkannya di bahagian hadapan, kerana bimbang dia akan terjatuh disebabkan keadaannya yang uzur selain menghidap penyakit saraf," katanya.
Katanya, dia amat mengharapkan bantuan supaya ada pihak yang sudi menyumbangkan motosikal roda tiga bagi memudahkannya membawa ibunya ke hospital.
Ditanya mengenai perbuatannya itu tular di media sosial sehingga menyentuh hati ramai pihak, Che Mohd Taufik mengakui terkejut dengan perkara itu.

Bukan raih simpati
Rakan menunjukkan gambar saya bersama ibu yang tular di media sosial.
“Saya bukan nak raih simpati dan hanya menjalankan tanggungjawab anak kepada ibunya,” katanya.





Sumber : hmetro

No comments

Powered by Blogger.
a