Header Ads

"Jumlah penjawat awam perlu dikurangkan, kerana ... " - PM

Dr Mahathir Mohamad bersalaman dengan sebahagian pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika lawatan rasmi ke Kementerian Pertahanan di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur pada Khamis. - Gambar BERNAMA

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan berhasrat membangunkan lebih banyak peluang kerja di sektor swasta dengan gaji yang lebih lumayan seperti dalam sektor pembuatan.

Perdana menteri berkata dengan kaedah berkenaan ia dapat mengurangkan kebergantungan rakyat untuk bekerja di sektor awam.

"Sebab itu kita perlu bangunkan negara dalam bidang pembuatan umpamanya supaya lebih ramai kita berpindah daripada kerja dengan kerajaan kepada kerja dengan swasta dan meningkatkan keupayaan mereka supaya hasil lebih tinggi daripada pegawai biasa dalam kerajaan,” katanya pada sesi dialog bersama warga Angkatan Tentera Malaysia di Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Beliau berkata penggunaan teknologi maklumat juga boleh membantu kerajaan mengurangkan jumlah penjawat awam.

Jumlah penjawat awam seramai 1.7 juta terlalu besar

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata ketika ini seramai 1.7 juta rakyat Malaysia bekerja di sektor awam dan jumlah itu terlalu besar dan perlu dikurangkan.


Bilangan penjawat awam hanya 1 juta sebelum ini 

Menurut Perdana Menteri, jumlah berkenaan meningkat dengan mendadak sejak beliau meninggalkan pentadbiran negara pada tahun 2003.

“Apabila saya berundur sebagai Perdana Menteri anggota pentadbiran hanya 1 juta orang sekarang seramai 1.7 juta, peningkatan sebanyak 700,000 lagi. Saya berpendapat hari ini jumlah anggota kerajaan terlalu besar dan ia perlu dikurangkan,” katanya.

“Saya berpendapat bahawa saiz pentadbiran kita itu terlalu besar, sebaliknya dengan menggunakan teknologi maklumat, komputer dan sebagainya kita boleh kurangkan saiz ini,” katanya dalam sesi soal jawab ketika mengadakan lawatan ke Kementerian Pertahanan, di sini pada Khamis.

Sumber : BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.
a