Header Ads

Pesakit ‘manja’ punca Jabatan Kecemasan dan Trauma sesak

Hampir 80 peratus pesakit tidak kritikal mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka dan ia menjadi antara punca utama kepada kesesakan dan kelewatan memberi rawatan kepada pesakit.
Berdasarkan statistik bermula 2016 hingga tahun berakhir 2018, jumlah pesakit tidak kritikal di zon hijau masing-masing merekodkan kehadiran melebihi 60,000 pesakit kecuali pada 2017 yang merekodkan 58,202 pesakit tidak kritikal menerima rawatan di unit kecemasan.
Menurut Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Low Chee Leong, bilangan pesakit tidak kritikal yang terlalu tinggi melebihi jumlah pesakit kritikal (zon merah dan kuning) adalah sebab jabatan terbabit sukar memberikan perkhidmatan secara efisyen.
Katanya, pesakit kritikal (zon merah) mencatatkan kehadiran antara 9,000 hingga 10,000 pesakit (tujuh hingga lapan peratus) berdasarkan rekod 2016 hingga 2018.
Jelasnya, pesakit separa kritikal (zon kuning) pula merekodkan kehadiran seramai 17, 919 pada 2016, diikuti 18, 644 (2017) dan 18,874 (2018) yang merekodkan nilai purata 14 peratus kehadiran bagi ketiga-tiga tahun.
Justeru, beliau mencadangkan pesakit tidak kritikal mendapatkan rawatan di enam klinik kesihatan milik kerajaan yang telah memanjangkan tempoh perkhidmatan bermula 8 pagi sehingga jam 9 malam di enam lokasi setiap daerah di negeri ini, bagi menyelesaikan masalah berkenaan.
Klinik terbabit adalah, Klinik Kesihatan Ayer Keroh, Peringgit, Masjid Tanah, Alor Gajah, Merlimau dan Jasin.
“Kehadiran pesakit tidak kritikal mendapatkan rawatan di zon kecemasan terlalu tinggi hingga mengakibatkan kesesakkan dan perkara yang tidak sepatutnya.
“Perkara ini perlu disedari orang ramai terutamanya, pesakit ‘ringan’ yang seharusnya mendapatkan rawatan ke klinik kesihatan berhampiran dan bukannya ke jabatan kecemasan.
“Maksud kecemasan itu perlu difahami sepenuhnya supaya rawatan rapi dapat diberikan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media kesesakan jabatan kecemasan dan trauma di Hospital Besar Melaka di sini sebentar tadi.
Hadir sama, Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma, Dr. Mohammad Fadhly Yahya.
Mohammad Fadhly berkata, jika orang ramai mampu memahami fungsi sebenar jabatan kecemasan dan trauma, pihaknya mampu memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pesakit.
“Proses rawatan bersama doktor mengambil masa sekurangnya lima minit, tetapi dengan situasi ini secara anggarannya ia memakan masa sehingga empat ke lima jam hanya untuk mendapatkan ubat-ubatan.
“Kita hanya ada 10 doktor pakar kecemasan yang perlu bertugas mengikut syif di Alor Gajah dan juga Jasin, oleh itu bila ada pesakit tidak kritikal mendapatkan rawatan di unit ini, ia menimbulkan kesesakkan yang tidak sepatutnya,” katanya.
Sumber : Melaka Kini

No comments

Powered by Blogger.
a