Header Ads

"Mayat isteri saya terbaring atas lantai...jemaah sebelah saya rebah akibat ditembak di kepala, tembakan berlaku selepas ...." - Perkongsian Detik Cemas Dari Mangsa Insiden Tembakan



Rentetan insiden tembakan rambang yang menggemparkan satu dunia di New Zealand, beberapa mangsa kejadian menceritakan detik-detik cemas ketika kejadian tembak berlaku depan mata mereka.

Cerita 1 



Rakaman 'LIVE' oleh penembak

Ketika sedang bersolat saya terdengar bunyi letupan sebelum seorang jemaah di sebelah saya rebah akibat ditembak di kepala,” kata seorang lelaki Palestin antara mangsa yang selamat dalam kejadian tembakan rambang di dua buah masjid di sini.


Semua jemaah bertempiaran larikan diri dan ada yang berlumuran darah 




“Saya terdengar tiga bunyi tembakan dan selepas 10 saat bunyi itu kedengaran semula. Semua jemaah bertempiaran melarikan diri dan ada yang berlumuran darah,” ujarnya yang enggan dikenali.
Katanya ketika kejadian dia bersolat di Masjid al Noor di sini yang penuh dengan jemaah menunaikan solat Jumaat.
Sementara itu, seorang lagi saksi memberitahu stuff.co.nz, dia bersolat di Masjid Deans Ave sebelum terdengar bunyi tembakan.

Mayat isteri saya terbaring atas lantai, kanak-kanak ditembak




Saya terus melarikan diri dan ketika menuju ke pintu keluar saya melihat mayat isteri saya terbaring di lantai. Saya juga melihat kanak-kanak ditembak. Mayat mereka bergelimpangan di mana-mana,” katanya.
Pihak berkuasa memberitahu, berpuluh-puluh mangsa dipercayai maut dalam serangan berkenaan.
Sementara itu, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand memberitahu seorang rakyat Malaysia cedera ditembak dalam kejadian itu.
Setakat ini seorang warga Malaysia disahkan cedera dan kini menerima rawatan di hospital,” katanya di Twitter.
Bandar itu juga dikepung pihak berkuasa dan terdapat laporan serangan di masjid ketiga serta serangan bom kereta di Strickland St.
Seorang penyerang dipercayai warga Australia menyiarkan video secara langsung serangan itu di media sosial.
Polis berkata, seorang lelaki yang memakai pakaian tentera ditangkap di sebuah sekolah berhampiran tetapi tidak dapat mengesahkan sama ada suspek adalah penyerang berkenaan.


Cerita 2 


Tembakan berlaku lepas azan pertama Solat Jumaat




Tembakan berlaku selepas azan pertama Solat Jumaat, kira-kira jam 1.40 tengah hari (waktu New Zealand) iaitu ketika orang ramai mula memasuki Masjid Al Noor.


Pasti lebih ramai terkorban jika penembak masuk ketika jemaah sedang solat




“Jika penembak itu memasuki masjid ketika jemaah sedang menunaikan solat, pasti lebih ramai yang akan terkorban kerana masjid itu boleh memuatkan lebih 500 orang pada sesuatu masa,” kata pelajar Malaysia di Christchuch, Abdul Azim Shafi Rushdi, 21.


Pelajar Malaysia di Christchuch
Ketika kejadian, penuntut tahun tiga jurusan kejuruteraan kuasa elektrik, Universiti Canterbury, itu sedang menunggu untuk solat Jumaat di surau di universitinya yang terletak kira-kira empat kilometer dari Masjid Al Noor.
Kata Abdul Azim, dia mendapat tahu mengenai insiden tembakan itu menerusi rakannya dan tidak lama kemudian pihak universiti mengumumkan penutupan sementara operasi sebelum pelajar dibenarkan pulang iaitu kira-kira empat jam kemudian.
Katanya, mujurlah ketika kejadian berlaku, tiada penuntut Malaysia yang berada di dalam masjid berkenaan dan dua rakyat Malaysia yang cedera dalam insiden itu masing-masing sudah bekerja.
Saya mengenali rapat salah seorang daripadanya (Rahimi Ahmad, 39) kerana dia sering menjemput penuntut Malaysia di universiti ini makan di rumahnya.

Sebelum ini New Zealand adalah negara paling selamat 



“Kejadian itu sememangnya mengejut semua pihak kerana Islamofobia tidak pernah berlaku di New Zealand sebelum ini dan negara ini juga adalah antara negara paling selamat di dunia,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Abdul Azim yang juga Ahli Jawatankuasa Persatuan Pelajar Muslim Universiti Canterbury berkata, pihak Education Malaysia New Zealand (EMNZ) dan pejabat konsulat Malaysia turut mengemaskini perkembangan kejadian itu kepada semua rakyat Malaysia di sana.

Semua pelajar harap tidak menghampiri lokasi kejadian
Selain itu, semua pelajar juga diminta supaya mengikut arahan pihak berkuasa supaya tidak menghampiri lokasi kejadian dan perkembangan daripada pihak universiti masing-masing.
“Kami juga sudah menghubungi keluarga di Malaysia untuk memaklumkan keadaan semasa kerana mereka turut risau selepas mendapat tahu mengenai kejadian itu,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi rakyat Malaysia yang bekerja di New Zealand, Mohammad Habibullah Md Ali, 26, berkata, ketika ini semua penduduk Islam di New Zealand berasa takut, sedih dan tidak selamat untuk keluar selepas insiden tembakan berkenaan.
Katanya, ketika kejadian dia baru sahaja selesai solat Jumaat di sebuah masjid di Auckland, dan dua kereta polis tiba sebelum bergegas memeriksa keadaan sekeliling.

Semua masjid di New Zealand dalam kawalan keselamatan polis




Mereka memeriksa pintu masuk serta melawat sekeliling masjid. Salah seorang pegawai polis meminta jemaah supaya naik ke tingkat dua masjid itu sekiranya ada serangan berlaku dan menghubungi segera pihak berkuasa.


“Kami diberitahu, semua masjid di seluruh New Zealand kini berada dalam kawalan keselamatan polis dan penduduk Islam juga diminta sentiasa berjaga-jaga,” katanya.

Sumber : harian metro

No comments

Powered by Blogger.
a