Header Ads

Majikan swasta disyorkan beri 'pelepasan waktu solat sekurang-kurangnya 20 minit' - Kementerian Sumber Manusia



Rata-rata syarikat kerajaan mempunyai waktu rehat pada hari kerja biasa yang cukup untuk kakitangan membahagikan masa untuk makan tengahari dan menunaikan solat zohor. Hari jumaat pula waktu rehat diberikan lebih daripada hari kerja biasa dan ianya sangat cukup untuk pekerja makan tengahari dan bagi pekerja lelaki sempat untuk menunaikan solat jumaat.


Isu ini timbul bagi pekerja swasta kerana terdapat majikan yang tidak memperuntukkan waktu rehat yang cukup kepada pekerja terutamanya pekerja beragama Islam yang wajib menunaikan solat 5 waktu. Sehinggakan ada sesetengah syarikat swasta yang tidak membenarkan pekerja muslim menunaikan solat jumaat pada hari jumaat.

Walau bagaimanapun, solat 5 waktu yang lain bagaimana pula dalam waktu pekerja ?



Khusus pekerja swasta

Kementerian Sumber Manusia hari ini melancarkan Garis Panduan Menunaikan Solat Dalam Waktu Kerja khususnya untuk pekerja swasta yang beragama Islam di seluruh negara.

Timbalan Menterinya, Datuk Mahfuz Omar berkata Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah menerbitkan garis panduan berkenaan setelah perbincangan dan kajian antara kedua-dua pihak dijalankan sejak 2017.



Pelepasan waktu bekerja bagi pekerja Muslim menunaikan solat

"Garis panduan ini menjadi penanda aras kepada majikan dalam mengendalikan perkara berkaitan pelepasan waktu bekerja bagi pekerja Muslim menunaikan solat seterusnya dapat menyempurnakan pekerjaan sebagaimana waktu kerja di bawah Seksyen 60A Akta Kerja 1955," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran garis panduan berkenaan peringkat kebangsaan di sini hari ini.





Pelepasan solat dalam waktu bekerja

Beliau berkata garis panduan itu dapat memberi penjelasan dan panduan bagi mengelakkan kekeliruan antara pihak majikan dan pekerja berhubung pelaksanaan solat semasa waktu bekerja terutamanya berkaitan pelepasan waktu bekerja untuk menunaikan solat.

"Sebelum ini JTK ada menerima aduan daripada pekerja beragama Islam berhubung isu solat dan persoalan daripada pihak majikan berkaitan pelaksanaan solat dalam waktu bekerja.

"Garis panduan yang dihasilkan dengan kerjasama Jakim ini setelah mengambil kira pandangan dalam Mesyuarat Panel Pakar Syariah yang terdiri daripada kalangan mufti-mufti sebelum ia dilaksanakan," katanya.


Sekurang-kurangnya 20 minit





Mengulas lanjut berhubung garis panduan itu, Mahfuz berkata majikan disyorkan untuk memberikan pelepasan waktu untuk pekerja menunaikan solat lima waktu sekurang-kurangya 20 minit bagi setiap solat dan satu jam setengah untuk menunaikan solat Jumaat bagi pekerja lelaki.

"Selain itu, majikan juga disarankan menyediakan tempat menunaikan solat yang sesuai, bersih dan berasingan antara pekerja lelaki dan wanita, kelengkapan asas solat seperti sejadah, tikar serta alas lantai, tempat mengambil air wuduk yang berhampiran dengan ruang solat dan petunjuk arah kiblat yang disahkan Jabatan Mufti Negeri," katanya.


Jangan ambil kesempatan pelepasan waktu solat 




Mahfuz turut menasihatkan para pekerja beragama Islam supaya menggunakan pelepasan waktu yang diberikan majikan untuk tujuan menunaikan solat dengan sebaik-baiknya.

"Jangan mengambil kesempatan berhubung pelepasan waktu (menunaikan solat) yang diberikan untuk tujuan lain dalam menjaga keharmonian hubungan majikan dan pekerja," katanya.

Mahfuz berkata sebanyak 15 aduan berkaitan hal pelepasan solat semasa waktu bekerja diterima oleh JTK sepanjang tahun lepas.

Dalam pada itu, Mahfuz berkata pihaknya kini dalam perancangan untuk menerbitkan garis panduan berpakaian bagi pekerja wanita beragama Islam bagi mengelakkan kekeliruan antara majikan dan pekerja mengenai etika berpakaian yang bersesuaian dalam pelbagai bidang pekerjaan terutamanya sektor swasta.


Sumber : BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.
a