Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mayat tersebut daripada orang awam, pada pukul 4.32 petang.
Mayat dalam keadaan tertiarap itu dipercayai telah meninggal dunia lebih 10 hari berdasarkan keadaannya yang telah reput. 
“Jantina mayat dipercayai perempuan berdasarkan kain dan baju yang dipakainya. Bagaimanapun identitinya masih belum dikenal pasti kerana tiada dokumen diri bersamanya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi. 
Tambah Wan Kamarul Azran, mayat tersebut dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh untuk proses bedah siasat. 
Mayat dipercayai dibunuh 
Mayat dipercayai dibunuh selepas hasil bedah siasat mendapati punca kematian akibat trauma objek tumpul. 
“Dianggarkan mangsa berusia 16 hingga 30 tahun. Pakaian yang dipakainya merupakan blaus berwarna merah dengan lengannya berbunga dan berbutang penuh serta seluar panjang hitam berjalur putih,” katanya. 
Katanya, polis menjumpai satu botol cecair peluntur berdekatan mayat dalam jarak 36 meter manakala penutupnya berada pada jarak 30 meter. 
Botol tersebut telah diambil unit forensic untuk proses pengesanan cap jari. 
“Tiada taman perumahan berdekatan lokasi kejadian melainkan hutan dan semak selain keadaan gelap pada waktu malam,” katanya. 
Hubungi polis sekiranya ada maklumat berkaitan
Sehubungan itu, orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Daerah Muallim, Asisten Wan Rozaman Wan Harun di talian 014-6666604
Sumber : kosmo