Header Ads

'Memang Tak Sabar Melihat Cucu, Dia Berdarah 'kacukan Melayu' Mat Dan'


“Kami sekeluarga memang tak sabar melihat cucu kedua, maklumlah dia berdarah kacukan Melayu,” kata Nicola Tyler, 54, ibu kepada Muhammad Kareef Daniel Abdullah, 29, atau lebih dikenali Mat Dan.

Nicola bersama suaminya Kevin Tyler, 60, dan anak bongsunya, Will Tyler, 25, ditemui pada majlis kesyukuran dan cukur jambul anak Mat Dan, Muhammad Zayne Danial James Tyler yang berusia 55 hari di rumah ibu mentuanya di Kampung Bukit, Kuala Terengganu, semalam.

Ibu kepada jejaka Inggeris yang fasih berbahasa Melayu dialek Terengganu itu berkata, dia teruja apabila mendapat berita mengenai kelahiran cucu keduanya itu pada 5 Mei lalu.

“Jika diikutkan, kami sekeluarga ingin terus ke Terengganu pada hari itu untuk melihat cucu, tetapi dihalang Mat Dan.

“Dia (Mat Dan) mencadangkan kami datang pada majlis cukur jambul supaya dapat merasai suasana majlis yang biasanya dianjurkan untuk menyambut kelahiran bayi di sini.

“Kami tiba di Terengganu pada 22 Jun lalu dan akan pulang ke London pada 7 Julai ini. Jadi kami punya banyak masa untuk dihabiskan bersama cucu,” katanya.

Sementara itu, Mat Dan berkata, dia masih belajar mengenai penjagaan bayi, tetapi kian dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan sebagai bapa.




“Mulanya bimbang untuk menghadapinya kerana pertama kali menimang cahaya mata, tetapi selepas lebih sebulan menjaga Zayne, saya berasa seronok pula.

“Cuma rehat tidak cukup seperti dulu, saya pula menjaga Zayne pada waktu malam, setiap satu hingga dua jam sekali Zayne akan bangun menyusu selain menukar lampin,” katanya.

Menurutnya, dia dan isteri, Nadifa Adnan, 29, teruja membuat persiapan baju raya untuk anak dan mereka ada membelinya secara atas talian selain membuat tempahan khas.

“Tahun lalu saya beraya sebagai seorang suami dan pada tahun ini hari raya semakin lengkap dengan kehadiran Zayne,” katanya.

Katanya, majlis cukur jambul itu lebih berseri dengan kehadiran keluarganya termasuk adik bongsunya dari England.


“Ibu dan ayah memang mahu datang lebih awal untuk melihat cucu berdarah campuran mereka, tetapi saya sarankan kepada mereka untuk datang ketika majlis cukur jambul.

“Saya dan isteri seronok melihat bapa, ibu dan adik teruja bermain dengan Zayne dan bercadang untuk membawanya ke London pada Disember ini,” katanya.

Sebelum ini, personaliti popular, Mat Dan dan isteri, Nadifa Adnan menimang cahaya mata lelaki sulung seberat 2.7 kilogram pada 5 Mei di Hospital Pakar Salam.

Perkara itu dikongsi Mat Dan atau nama Islammya, Kareef Danial yang juga pengacara program, Mat Dan Kaki Jalan di laman Instagramnya, pada 12 Mei.

Sumber : Harian Metro. 
FACEBOOK KIM SKIN

No comments

Powered by Blogger.
a